RM300 juta disalur selepas Zahid bersuara, bukan peruntukan tambahan — KKDW

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyanggah kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) bahawa kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Fadzmel Fadzil berkata, kenyataan MOF itu tidak tepat dan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar, khususnya berhubung komitmen projek serta tunggakan pembayaran yang dibawa daripada tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, tatacara kewangan kerajaan tidak membenarkan sesebuah kementerian berbelanja sewenang-wenangnya melebihi peruntukan yang diluluskan.

“Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan yang menggunakan Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS).

“Malah, setiap projek atau program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadzmel berkata, sekiranya benar berlaku perbelanjaan tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara itu tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan.

Menurutnya, sistem kewangan kerajaan juga tidak membenarkan sesuatu projek atau program dilaksanakan tanpa butiran dan peruntukan yang diluluskan.

“Justeru, penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ memberikan gambaran tidak tepat terhadap apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan MOF juga tidak menyertakan data bagi 2019, 2020 dan 2021 yang penting untuk melihat keseluruhan kedudukan antara komitmen projek, peruntukan dan pembayaran.

Dalam tempoh berkenaan, negara berhadapan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pelaksanaan sebahagian projek terjejas.

Bagaimanapun, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu telah dikeluarkan dan komitmen kontrak sudah wujud antara 2019 hingga 2021.

Menurut Fadzmel, apabila projek berkenaan kembali dilaksanakan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.

“Apabila kerja telah dilaksanakan oleh kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak.

“Projek yang telah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja hanya kerana peruntukan tahunan hampir digunakan sepenuhnya,” katanya.

Fadzmel berkata, KKDW telah mengambil langkah kawalan lebih awal, termasuk menyusun semula peruntukan dalaman kementerian, mengehadkan komitmen baharu serta mengehadkan projek pada peringkat prapelaksanaan.

KKDW juga terpaksa membatalkan tender bagi beberapa projek yang mempunyai impak tinggi kepada masyarakat desa.

Menurutnya, permohonan rasmi turut dikemukakan kepada MOF pada suku kedua 2026 bagi menampung keperluan pembayaran tertangguh untuk projek yang sedang dilaksanakan.

Dalam pada itu, Fadzmel berkata, kenyataan MOF bahawa sebanyak RM300 juta peruntukan tambahan telah diluluskan kepada KKDW juga perlu diperbetulkan.

“RM300 juta itu bukan peruntukan tambahan, sebaliknya peruntukan yang sewajarnya disalurkan dan telah diberikan melalui Surat Kuasa Berbelanja yang dikeluarkan pada petang 1 September 2026.

“Ia dikeluarkan selepas isu ini disuarakan sekali lagi oleh Timbalan Perdana Menteri pada pagi hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan tersebut bertujuan menampung komitmen dan tunggakan pembayaran yang dibawa daripada tahun-tahun sebelumnya.

Justeru, katanya, adalah tidak tepat untuk menggambarkan RM300 juta berkenaan sebagai peruntukan tambahan baharu kepada KKDW.

Bagaimanapun, KKDW menghargai kelulusan dan penyaluran dana tersebut, namun jumlah berkenaan masih belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan keperluan pembayaran yang sedang dihadapi.

Menurutnya, pelarasan seterusnya hanya akan dibuat pada hujung 2026 berdasarkan penjimatan atau lebihan baki peruntukan kementerian.

Fadzmel berkata, pelbagai sesi perbincangan telah diadakan bersama MOF dan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun sebahagian perkara yang dibangkitkan masih tertangguh dan belum mendapat penyelesaian tuntas.

Beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan projek tidak dibayar secara langsung oleh KKDW kepada kontraktor pelaksana.

Sebaliknya, peruntukan itu disalurkan kepada JKR atau agensi yang menyelia pelaksanaan projek.

“Sebaiknya perkara ini tidak menjadi pertikaian antara kementerian. Apa yang lebih penting ialah mencari penyelesaian segera terhadap komitmen pembayaran yang telah wujud.

“KKDW akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari penyelesaian menyeluruh supaya segala komitmen kerajaan dapat diselesaikan dengan baik.

“Ini juga bagi memastikan tidak timbul persepsi seolah-olah KKDW melakukan kesalahan dalam perbelanjaan dan tidak berhemah dalam menguruskan amanah peruntukan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat