KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) menafikan wujud sekatan terhadap pembayaran bagi projek jalan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), seperti yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menegaskan peruntukan KKDW bagi projek berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.
Menurutnya, kesukaran memproses pembayaran kepada kontraktor berlaku kerana hampir keseluruhan peruntukan tahun semasa sudah dibelanjakan, bukannya disebabkan sekatan oleh MOF.
“Sejak beberapa tahun lalu, KKDW membuat komitmen dan perbelanjaan melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johan berkata, KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan diluluskan sebanyak RM1.1 bilion.
Pada 2024, perbelanjaan kementerian itu mencecah RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala pada 2025, sebanyak RM2.3 bilion dibelanjakan berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
Bagi 2026, KKDW menerima peruntukan sebanyak RM2.1 bilion, dengan perbelanjaan sebenar sudah mencapai RM1.9 bilion setakat Jun lalu.
Johan berkata, setiap kementerian bertanggungjawab merancang dan menguruskan perbelanjaan berdasarkan peruntukan Belanjawan tahunan yang diluluskan Parlimen.
Bagaimanapun, MOF sedang bekerjasama dengan KKDW bagi menyelesaikan isu berkenaan, termasuk melaraskan peruntukan kementerian mengikut keutamaan perbelanjaan.
“Setakat ini pada 2026, MOF meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan pembayaran tertunggak kepada kontraktor.
“MOF juga sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi membantu menampung komitmen KKDW yang melebihi peruntukan diluluskan,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah meminta isu pembayaran kepada kontraktor diberikan perhatian serius, khususnya bagi kerja yang telah disiapkan dan memenuhi syarat kemajuan dalam kontrak pembangunan.
Beliau berkata, kelewatan pembayaran bukan sahaja membebankan kontraktor, malah memberi kesan kepada pembekal, subkontraktor, pekerja dan penyedia perkhidmatan serta berpotensi menjejaskan ekonomi setempat.



