PUTRAJAYA, – Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus mencatatkan sambutan luar biasa apabila nilai transaksi mencecah RM110 juta hanya dalam tempoh dua hari.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya memaklumkan, lebih 900,000 penerima berjaya menyempurnakan perbelanjaan bernilai RM60 juta di seluruh negara pada hari kedua pelaksanaan program itu.
“Secara keseluruhannya, lebih 1.7 juta penerima telah melakukan pembelian dalam tempoh dua hari dengan jumlah transaksi bernilai RM110 juta di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Ledakan transaksi pada hari pertama telah membawa kepada peningkatan kapasiti sistem oleh penyedia perkhidmatan MyKasih, sekali gus membolehkan 20 peratus lebih banyak transaksi diproses pada hari kedua.
Namun, kementerian mengakui masih berlaku kesesakan pemprosesan di beberapa lokasi, terutama di pasar raya besar kawasan bandar ketika waktu puncak antara jam 1.00 hingga 2.30 petang.
Bagi mengatasi masalah itu, petugas MyKasih ditempatkan di pasar raya besar bagi membantu menyelesaikan isu secara terus di lapangan serta memberi sokongan kepada peniaga.
Orang ramai turut dinasihatkan merancang pembelian pada waktu bukan puncak, terutamanya pada waktu pagi di hari bekerja, bagi melancarkan urusan pembelian.
Kementerian menegaskan kredit RM100 bagi Penghargaan SARA kekal sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.



