CYBERJAYA: Siasatan Polis terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali kerana melanggar peraturan kuarantin Covid-19 hampir selesai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kertas siasatan akan dihantar ke timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
“Siasatan hampir selesai. Tak lama lagi kita akan hantar kertas siasatan kepada TPP,” katanya.
Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus itu disiasat kerana melanggar kuarantin wajib selepas kembali dari Turki 7 Julai lalu.
Pada 28 Ogos, Khairuddin memberi keterangan selama tiga jam di Bukit Aman berhubung kesalahan itu.
Sekurang-kurangnya 27 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung kesalahan Khairuddin.
Khairuddin membayar kompaun RM1,000 pada 7 Ogos namun menurut Kementerian Kesihatan pegawainya termasuk ketua pengarah tidak dimaklumkan mengenai perkara itu dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.
Beliau turut memohon maaf dan mendermakan empat bulan gajinya kepada Tabung Covid-19.
Kesalahan itu didedahkan ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Dewan Rakyat pada 18 Ogos.
Sementara itu, PAS menyalahkan Kementerian Kesihatan dan menyifatkan Khairuddin sebagai wira.
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata perjalanan Khairuddin ke Turki membawa faedah kepada sektor kelapa sawit.
“Beliau umpama seekor burung dalam kisah Nabi Sulaiman yang membawa keuntungan besar melalui kesalahannya melanggar undang-undang,” katanya merujuk kepada ayat dalam surah al-Quran.