KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap kementerian dan agensi kerajaan berkaitan boleh tampil menegur dan memberikan penjelasan membalas kenyataan bersifat menghina perkara berkaitan umat Islam untuk elak kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata jika ada video atau perkara yang dilakukan oleh mana-mana individu bersifat memperlekehkan hal berkaitan Islam, ada pihak perlu tampil segera beri teguran dan menjawab permasalahan itu.
Beliau menarik perhatian terhadap satu isu melibatkan video tular seorang pengendali rancangan podcast yang mengeluarkan kenyataan membandingkan kelayakan peperiksaan UEC dan pengajian Tahfiz Al-Quran di negara ini.
“Saya harap pihak yang bijak pandai dan arif tampil dan beri teguran kepada individu seperti ini yang jelas tidak faham tentang pendidikan Tahfiz dan membuat kenyataan tetapi tidak membuat kajian terlebih dahulu sebelum bercakap.
“Ada pihak minta kita tidak melayan perkara begini tetapi jika kita biarkan, ia akan semakin melarat dan ia boleh membuat orang ramai keliru berkaitan apa yang diperkatakan,” katanya kepada Suara TV, hari ini.
Dalam video berkenaan, individu itu mengatakan bahawa sijil peperiksaan UEC adalah jauh lebih baik daripada sijil atau kelulusan yang dikeluarkan dalam pengajian Tahfiz Al-Quran dan turut mencabar supaya buat ujian kecerdasan minda (IQ) kepada 100 orang pelajar rawak dari Tahfiz dan UEC.
Datuk Nadzim yang mesra dipanggil Tok Ki berkata ada orang kadang-kadang buat kenyataan yang seolah-olah sengaja memperlihatkan kebodohan dalam sesuatu perkara.
“Tidak masuk akal untuk buat perbandingan di antara pengajian kitab suci Al-Quran dengan satu sijil peperiksaan UEC yang berteraskan ilmu manusia yang tak dapat menandingi pengajian menghafaz kitab suci itu,” katanya.
Peperiksaan UEC ialah satu Sijil Peperiksaan Bersepadu melalui satu sistem peperiksaan berpusat yang diambil oleh pelajar di sekolah menengah persendirian Cina di Malaysia.
Peperiksaan ini diuruskan oleh Dong Jiao Zong iaitu Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina sejak tahun 1975.



