18 rekod baharu kepelbagaian biodiversiti, penemuan menakjubkan di Hutan Simpan Bukit Perangin

Oleh Zihan Zari

JITRA – Sebanyak 18 rekod baharu kepelbagaian biodiversiti merangkumi flora dan fauna yang begitu menakjubkan berhasil ditemui dalam Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Bukit Perangin, Kedah yang telah berlangsung dari 26 hingga 31 Julai lalu.

Antara penemuan itu, dua spesies pepatung, Tetrathemis platyptera (Pigmy skimmer) dan Mortonagrion aborense (Blue midget); dua spesies pokok, Aglaia palembanica (Bekak) dan Pterospermum grewiifolium (Bayur); dua fungi, Climacodon dubitativus (Tropical tooth fungus) dan Cymatoderm sp; enam spesies halia, Globba sessiliflora, Zingiber puberulum, Meistera, lappaceum, Meistera aculeata, Zingiber montanum dan Hornstedia conica.

Turut ditemukan satu spesies orkid iaitu Didymoplexiella sp, dan tiga spesies pokok bukan dipterocarp iaitu Stichoneuron caudatum, Xylopia sumatra na (Jangkang) dan Koilodepas longifolium (Semantum/kilas); dua spesies kulat iaitu Russula sp. (Red Russula) dan Rhizopogon sp.

Lebih menarik lagi, Paracanthocobitis phuketensis (Phuket Zipper Loach), spesies ikan yang endemik yang hanya boleh ditemui di Kedah.

Selain itu, Hutan Simpan Bukit Perangin turut mempunyai satu lagi Hutan Lipur iaitu Taman Eko Rimba (TER) Puncak Janing dan Air Terjun Bukit Perangin yang dikelaskan sebagai Hutan Tadahan Air.

Ekspedisi saintifik siri ke -5 ini anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Kedah melibatkan seramai 104 orang para penyelidik dari pelbagai bidang kajian yang terdiri dari Institut Pengajian Tinggi (IPT), jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan individu.

Antaranya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Jabatan PERHILITAN, Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kumpulan Pakar Flora JPSM, Syarikat Fast Genomics Solutions, SE Dhuha Resources dan pesara.

JPN Kedah telah menyediakan tiga denai ekspedisi sejauh 10.6 kilometer untuk para penyelidik dan saintis melaksanakan kajian, iaitu, di Trek Bukit Wang, Kompartmen 4, Hutan Simpan Bukit Perangin (sejauh 4.0 kilometer); Trek Air Terjun Tirai, Kompartmen 8, Hutan Simpan Bukit Perangin (sejauh 2.5 kilometer); dan Trek Puncak Janing, Kompartmen 41, Hutan Simpan Bukit Perangin (sejauh 4.1 kilometer).

EXCO Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Dato’ Hj. Mohamad Yusoff @ Munir Hj. Zakaria berkata
ekspedisi saintifik ini merupakan satu platform kepada kumpulan pakar dan penyelidik untuk membentang dan membincangkan hasil penemuan kajian dalam aspek fizikal kawasan, sumber biodiversiti dan produk ekopelancongan yang diperolehi di Hutan Simpan Bukit Perangin.

“Kita dapat memperkaya dan mengemaskini gedung ilmu dan pendokumentasian tentang biodiversiti yang masih banyak tersimpan dan belum diterokai. Ianya menggalakkan jaringan kerjasama penyelidikan dari IPT, agensi penyelidik Kerajaan, agensi teknikal kerajaan dan saintis-saintis rakyat,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Perangin, di Kem Paya Pahlawan, dekat sini pada Jumaat

Turut hadir, Pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan JPSM, Dr. Aldrich Richard; Pegawai Daerah dan Tanah Kubang Pasu, Amirah Khairiah Abdul Latip; dan Pegawai Hutan Daerah Kedah Utara, JPN Kedah, Noor Akmal Jamil.

Mohamad Yusoff berkata data dan maklumat yang dikumpulkan bukan sekadar untuk disimpan di dalam jurnal akademik sahaja tetapi juga ianya turut berfungsi sebagai asas pengurusan hutan yang membantu JPN merangka pelan pengurusan hutan secara mampan.

Katanya, setiap penemuan baharu, sama ada spesies serangga kecil, kulat, mahupun tumbuhan herba yang jarang ditemui, membuktikan bahawa kepelbagaian biologi di Kedah perlu terus dipelihara daripada sebarang ancaman pencerobohan dan kepupusan.

“‎Saya menyeru agar semua agensi, institut, NGO dan komuniti setempat berganding bahu dan terus diperkukuh jalinan kerjasama bagi pemeliharaan hutan kita.

“Hasil daripada ekspedisi ini diharap dapat dibukukan atau diterbitkan dalam bentuk yang mudah difahami oleh masyarakat awam, khususnya generasi muda agar mereka menghargai warisan alam ini,”katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Pensyarah Kanan Pakar Bidang Taksonomi Tumbuhan dan Ekologi Hutan UKM, Dr. Ahmad Fitri Zohari, bersama kumpulan pakar dan penyelidik ke dalam Hutan Simpan Bukit Perangin yang meneroka, mendokumentasi dan menilai kepelbagaian biodiversiti serta sumber semula jadi melalui kajian dalam bidang flora dan fauna, geologi, ekopelancongan serta sosioekonomi.

Beliau yang juga ketua ekspedisi berkata, Hutan Simpan Bukit Perangin merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang telah diwartakan pada tahun 1953 mempunyai keluasan kira-kira 13,296 hektar dan merupakan ekosistem hutan dipterokarpa bukit yang kaya dengan biodiversiti.

Katanya, kawasan ini turut memainkan peranan penting sebagai habitat hidupan liar, kawasan tadahan air serta destinasi ekopelancongan dan rekreasi alam semulajadi.

“Penemuan-penemuan ekspedisi ini akan menyumbang kepada pengukuhan data saintifik dan membantu pengurusan, pemeliharaan serta pembangunan sumber biodiversiti Hutan Simpan Bukit Perangin secara lestari.

“Para penyelidik akan meneruskan kajian dan analisis lanjut terhadap penemuan yang diperoleh sebelum hasil penyelidikan dibentangkan dalam Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan pada tahun hadapan, ”katanya lagi pada sesi penggulungan dan rumusan.

Dalam pada itu, Pengarah Perhutanan Kedah, Hj. Othman Deris berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang amat bertuah kerana dianugerahkan Allah S.W.T dengan kepelbagaian khazanah biologinya.

Beliau berkata, Malaysia telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara daripada 12 negara ‘mega kepelbagaian’ di dunia dan satu- satunya negara hutan tropika yang tersenarai dalam 11 negara teratas dunia dalam menerajui Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Menurut beliau, dengan keluasan 5,731,351.70 hektar kawasan hutan di Malaysia telah disijilkan di bawah Malaysia Timber Certification Scheme (MTCS) dan diiktiraf di bawah Programme for the Endorsementof Forest Certification (PEFC).

Katanya, HSK seluas 343,465.92 hektar di Kedah telah disijilkan di bawah MTCS. Fokus pengurusan hutan kini bukan sahaja hanya pada pengeluaran kayu-kayan semata, malah terhadap perlindungan biodiversiti, alam sekitar dan warisan budaya.

“Bagi merealisasikan hasrat pemeliharaan kepelbagaian biologi yang wujud khususnya di Semenanjung Malaysia, JPSM dengan kerjasama JPN Kedah telah berjaya menjalankan sebanyak 51 ekspedisi saintifik di seluruh Semenanjung Malaysia sejak tahun 1999 sehingga kini.

“Melalui tempoh 25 tahun pelaksanaan ekspedisi, JPSM telah berjaya merekodkan lebih 6,766 spesiesflora dan 2,552 fauna keseluruhannya,”katanya lagi.

Ujarnya, ekspedisi saintifik ini bukan sahaja berjaya merekodkan kekayaan kepelbagaian biologi hutan negara kita, tetapi juga secara tidaklangsung sebagai platform bagi melatih para saintis dan penyelidik untuk menyambung kesinambungan bidang penyelidikan kepelbagaian biologi hutan ini.

“Kali pertama telah dilaksanakan pada pada tahun 2003 di Hutan Simpan Ulu Muda, kali kedua tahun 2005 di Hutan Simpan Gunung Jerai, kali ketiga tahun 2009 di Hutan Banjaran Bintang-Gunung Inas dan kali keempat pada tahun 2013 di Hutan Paya Laut Sungai Merbok.

“Hutan Simpan Bukit Perangin mempunyai topografi yang berbukit dengan puncak tertinggi mencecah 753 meter dari aras laut mewujudkan habitat yang sesuai dan penting pelbagai spesies flora dan fauna, termasuk burung Enggang, mamalia kecil, reptilia dan amfibia yang bergantung kepada ekosistem hutan asli untuk kelangsungan hidup,”ujarnya lagi.

Tambahnya, sepanjang ekspedisi saintifik ini dilaksanakan, sebanyak 150 anak pokok nadir telah berjaya ditanam di TER Bukit Wang oleh peserta ekspedisi bagi menyokong Kempen Penanaman 2.2 Juta Pokok Peringkat Negeri Kedah yang telah dilancarkan oleh Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 21 Januari 2025.

“Sehingga kini, direkodkan sebanyak 492,294 pokok yang telah berjaya ditanam oleh JPN Kedah dan lain-lain agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu.

“Inisiatif ini merupakan salah satu elemen penting dalam mengekalkan litupan hijau dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran awam dan memupuk rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar melaluipenyertaan yang aktif dalam kalangan masyarakat dan agensi.

“Hasil dapatan kajian dan penyelidikan yang dijalankan dapat mengambarkan kekayaan sumber biologinya yang bukan sahaja penting bagi tujuan pengekalan dan pemuliharaan sumber biologi, tetapi juga berpotensi untuk dipromosikan sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan popular bagi Kedah dan negara amnya.

“Usaha dan kerjasama para penyelidik dan pengkaji dalam menyokong segala usaha yang telah dirancang untuk melindungi dan memulihara kawasan berhutan adalah sangat dihargai,”tambahnya lagi.

Sebagai simbolik kepada kemuncak majlis penutupan ekspedisi saintifik ini, Mohamad Yusoff telah menanam spesies pokok Garcinia magostana (manggis) di perkarangan Kem Paya Pahlawan. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat