“Kerajaan Paling Diktator”, Kekecewaan Ambiga & Kecelaruan Fahmi.

- Advertisement -

Oleh: Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin

Baru-baru ini bekas Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan telah menyelar kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sedang merancang untuk mewujudkan satu sistem perlesenan dan “kill switch” (suis maut) bagi platform-platform media sosial.

Menurutnya lagi, lebih dikesali apabila kerajaan pada hari ini bukan sahaja tidak memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, sepertimana yang diperjuangkan suatu masa dahulu tetapi sebaliknya memperkenalkan perlesenan baharu.

Namun begitu, setelah menyatakan kekecewaan ini, wakil pihak kerajaan (Menteri Komunikasi) Fahmi Fadzil menyelarkan kenyataan Ambiga itu tidak lebih dari sekadar hiperbola (kiasan yang berlebihan) dan menyifatkan ia tidak berpijak di bumi yang nyata.

Dalam cubaan untuk membela kerajaan Madani, Fahmi membuat perbandingan yang katanya zaman dahulu pendemonstran akan disajikan dengan pukulan tapi sekarang dijamu dengan air dan roti.

Sebagai salah seorang yang terlibat dalam gerakan reformasi, saya amat memahami kekecewaan yang dirasai oleh Ambiga.

Pada ketika gerakan reformasi sedang hangat di penghujung era 90an, Fahmi mungkin terlalu sibuk dengan karier beliau sebagai pelakon tambahan filem tempatan dan tidak memahami peri pentingnya kebebasan bersuara rakyat untuk terus dipelihara.

Reformis berjuang untuk menghapuskan undang-undang draconian, bukannya mengekalkan dan menambah lebih banyak lagi peraturan bagi menyekat suara rakyat.

Ini menunjukkan kerajaan pada ketika ini begitu takut dengan bayang-bayang sendiri dan kegagalan demi kegagalan yang berlaku akan mengundang lebih banyak kritikan daripada masyarakat umum.

Sekiranya peraturan baharu ini dilaksanakan, saya percaya ia bukan sahaja akan merencatkan perkembangan demokrasi negara tetapi juga akan merosakkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Hari ini, seorang “reformis” sudah berada di tampuk pemerintahan negara, sudah tentu kita sebagai rakyat mahu agenda reformasi yang dicanang sebelum ini dilaksanakan secara keseluruhannya.

Kita tidak mahu ketidakpuashatian rakyat hanya dibalas dengan “roti dan air” semata-mata, kerana walaupun ia mengenyangkan dan menghilangkan dahaga, ia tidak dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat.

Kekecewaan yang timbul dari hati Ambiga itu adalah suatu perasaan yang sah dan wajar diambil peduli oleh kerajaan. Malah, perkataan diktator itu adalah terlalu lembut untuk disifatkan kepada sebuah kerajaan yang dipimpin oleh golongan reformis palsu ini.

Tetapi, setelah menilai jawapan semberono Fahmi Fadzil, saya yakin kerajaan semakin lama semakin celaru dan semakin sukar untuk menyorokkan kebejatan yang berlaku di dalam pemerintahan mereka pada hari ini.

Sepertimana dalam kenyataan saya sebelum ini, kerajaan pada ketika ini seolah-olah telah dirasuk ideologi komunis yang bukan sahaja membelenggu kehidupan rakyat tetapi juga cuba menyekat kebebasan berfikir dan bersuara seluruh rakyat Malaysia.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat