KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertanggungjawab 40 peratus dalam kerangka menjayakan Ekonomi Madani yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jelas sekali melalui rangka ekonomi tersebut pemerkasaan industri, pelaburan dan eksport dilihat sebagai elemen penting bagi memacu pembangunan dan mentransformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi.
“Bercakap tentang rangka Ekonomi MADANI, dalam 40 peratus langkah-langkah yang diumumkan YAB PM adalah dalam tanggungjawab MITI.
“Jadi MITI dan agensi-agensinya perlu terus mempergiat usaha untuk meningkatkan keyakinan pelabur.
“Pada masa yang sama kita juga perlu memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan rakyat memperoleh manfaat terbaik daripada pelbagai langkah yang kita telah laksanakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Justeru Tengku Zafrul menyeru, agar MITI dan agensi terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pemegang taruh dalam menggalakkan kemasukan pelaburan asing, meningkatkan pelaburan tempatan, memantapkan perdagangan antarabangsa dan memperkasakan pembangunan industri yang lestari dan mampan.