Emas Sri Semantan terus melakar perkembangan positif dalam industri peruncitan emas tempatan apabila menyasarkan pembukaan 30 cawangan di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini, sebelum mengembangkan rangkaian kepada 222 cawangan termasuk kiosk dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Perancangan tersebut mencerminkan keyakinan syarikat terhadap prospek industri emas di Malaysia yang terus berkembang, selain didorong oleh peningkatan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan emas sebagai aset kewangan jangka panjang.
Hasrat itu turut direalisasikan melalui pembukaan cawangan ke-17 Emas Sri Semantan di Kemaman, Terengganu, yang menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan syarikat sejak memulakan operasi daripada sebuah premis kecil sehingga berkembang menjadi antara jenama emas preloved yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna di seluruh negara.
Pengerusi Eksekutif Emas Sri Semantan Sdn. Bhd., En. Mohamad Hafizal Hj. Mahmood berkata, setiap pembukaan cawangan baharu bukan sekadar meluaskan operasi perniagaan, malah membawa tanggungjawab yang lebih besar untuk mendekatkan masyarakat dengan ilmu berkaitan pengurusan emas.
Menurut beliau, syarikat sentiasa memastikan setiap lokasi dipilih berdasarkan permintaan sebenar pelanggan dan potensi pasaran, sekali gus memastikan setiap cawangan mampu beroperasi secara mampan serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Kami tidak membuka cawangan hanya kerana ingin menambah bilangan premis. Setiap keputusan dibuat berdasarkan kajian terhadap permintaan pelanggan. Apabila sesuatu kawasan menunjukkan potensi yang baik, kami akan membawa perkhidmatan Sri Semantan ke lokasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata, selepas sasaran 30 cawangan dicapai, syarikat akan memberi tumpuan kepada pembukaan kiosk di pusat beli-belah sebagai strategi untuk memudahkan pelanggan mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.
Menurut beliau, pembukaan kiosk akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan permintaan di sesuatu kawasan dan dijangka menjadi antara pemacu pertumbuhan syarikat pada masa hadapan.
Dalam jangka panjang, beliau berkata, Sri Semantan menyasarkan pembukaan sehingga 222 cawangan termasuk kiosk dalam tempoh sedekad, selaras dengan aspirasi syarikat untuk mempunyai kehadiran di sebanyak mungkin kawasan Parlimen di seluruh Malaysia.
“Sudah tentu sasaran ini memerlukan perancangan yang teliti dan bergantung kepada perkembangan semasa perniagaan. Namun, melihat kepada sambutan pelanggan ketika ini, kami yakin sasaran tersebut mampu direalisasikan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan yang dicapai hari ini merupakan hasil usaha berterusan seluruh warga kerja syarikat yang tidak pernah berputus asa walaupun pernah melalui pelbagai cabaran sejak awal penubuhannya.
Menurut beliau, perjalanan Sri Semantan bukanlah satu kisah kejayaan yang berlaku dalam tempoh singkat. Sebaliknya, syarikat melalui pelbagai fasa sukar sebelum berjaya membina kepercayaan pelanggan dan mengembangkan operasi ke pelbagai negeri.
Katanya, daripada sebuah kedai emas yang pernah dipandang sepi oleh pelanggan, Sri Semantan kini berkembang menjadi rangkaian perniagaan yang terus menerima sokongan masyarakat hasil komitmen dalam menawarkan perkhidmatan yang telus dan memberi nilai tambah kepada pelanggan.
Beliau berkata, falsafah syarikat tidak pernah berubah sejak penubuhannya, iaitu menjadikan emas sebagai medium untuk membantu masyarakat membina kedudukan kewangan yang lebih stabil.
Menurut beliau, emas bukan sekadar barang kemas atau simbol kemewahan, malah merupakan aset yang mampu mengekalkan nilai dalam jangka panjang serta boleh dimanfaatkan ketika berdepan pelbagai situasi kewangan.
“Ramai yang membeli emas, tetapi tidak semua memahami bagaimana emas boleh dimanfaatkan dengan cara yang betul. Sebab itu kami sentiasa menekankan kepentingan ilmu supaya masyarakat bukan sekadar memiliki emas, tetapi mengetahui fungsi sebenar aset tersebut,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan pendidikan menjadi identiti utama Sri Semantan dan membezakan syarikat itu daripada kebanyakan peruncit emas lain di pasaran.
Selain menjalankan aktiviti jual beli emas, syarikat turut menawarkan perkhidmatan pembelian semula (buyback), trade-in dan penebusan surat pajak bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan dalam menguruskan aset mereka.
Bagaimanapun, menurut beliau, nilai tambah sebenar yang dibawa oleh Sri Semantan ialah pendidikan kepada pelanggan melalui Sri Semantan Privilege Club (SSPC), sebuah platform yang diwujudkan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pengurusan aset emas.
Melalui SSPC, ahli didedahkan dengan pelbagai pengetahuan berkaitan strategi pemilikan emas, kaedah memanfaatkan emas sebagai aset kewangan serta kepentingan membuat perancangan kewangan yang lebih tersusun.
Beliau berkata, pendekatan tersebut telah membuka perspektif baharu kepada ramai pelanggan yang sebelum ini hanya melihat emas sebagai barang kemas semata-mata.
“Kami mahu pelanggan memahami bahawa emas boleh memainkan pelbagai fungsi dalam kehidupan. Dengan ilmu yang betul, emas boleh menjadi simpanan, aset kecemasan, instrumen pengurusan kewangan dan sebahagian daripada perancangan masa depan keluarga,” katanya.
Menurut beliau, usaha menyebarkan ilmu berkaitan emas akan terus menjadi keutamaan syarikat kerana pihaknya percaya masyarakat yang mempunyai pengetahuan lebih baik akan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
Beliau berkata, Sri Semantan juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemilikan emas tanpa melihat pemain industri lain sebagai pesaing semata-mata.
“Kami percaya industri emas akan terus berkembang sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing. Fokus kami bukan untuk berlumba, sebaliknya berkongsi pengalaman dan ilmu supaya lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pemilikan emas,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap masyarakat mendapatkan maklumat daripada saluran yang sahih dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan atau fitnah yang tersebar di media sosial berkaitan model perniagaan syarikat.
Katanya, Sri Semantan sentiasa mengamalkan prinsip ketelusan dalam setiap urusan dan bersedia memberikan penjelasan kepada pelanggan supaya mereka memahami setiap produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja, rakan niaga dan pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan sehingga Sri Semantan berjaya mencapai pelbagai pencapaian penting termasuk pembukaan cawangan ke-17 di Kemaman.
“Sokongan pelanggan menjadi kekuatan terbesar kami untuk terus berkembang. Setiap kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil kepercayaan masyarakat terhadap jenama Sri Semantan serta komitmen seluruh pasukan yang bekerja keras sejak hari pertama penubuhan syarikat,” katanya.
Dengan pertumbuhan rangkaian yang semakin pesat, permintaan pelanggan yang terus meningkat serta penekanan terhadap pendidikan mengenai pemilikan emas, Sri Semantan optimis mampu merealisasikan sasaran memiliki 222 cawangan dalam tempoh sedekad, sekali gus memperluaskan lagi akses masyarakat terhadap urusan jual beli emas serta meningkatkan kefahaman mengenai fungsi emas sebagai aset yang bernilai untuk generasi masa hadapan.



