KUALA LUMPUR – Peguam Negara adalah sebahagian Kerajaan.
Justeru,Peguam Negara hari ini melaksanakan dasar Kerajaan Madani dan bukan dasarnya tersendiri,” kata Tan Sri Shahrir Samad.
Veteran Umno itu mengulas lagi, Barisan Nasional (BN) adalah sebahagian Kerajaan Perpaduan.
Maka katanya, BN akan terlibat bersama dengan rayuan Peguam Negara terhadap usaha Datuk Seri Najib Razak untuk membawa titah addendum itu ke tengah.
“Dua fakta: pertama, titah addendum adalah titah Sultan Pahang, dan kedua,Najib adalah pemimpin negeri itu.
“Maka ia menjadi tanda tanya bagaimana agaknya pemimpin-pemimpin BN peringkat Persekutuan mampu mengimbangi kepentingan Kerajaan Persekutuan dengan kepentingan Negeri Pahang? Soal Shahrir.
Sebelum ini Facebook Najib mencatat, sekiranya Mahkamah Persekutuan memihak kepada Peguam Negara, maka perjuangan Najib untuk mendapatkan keadilan dan menuntut pelaksanaan Titah Addendum Diraja akan terkubur.
Hari ini, Mahkamah Persekutuan Putarajaya diberitahu Najib tidak menunjukkan usaha wajar untuk membuktikan kewujudan addendum diraja yang didakwa membenarkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah, semasa permohonan semakan kehakiman didengar di Mahkamah Tinggi tahun lalu.
Peguam Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar berkata Najib mendakwa menerima maklumat sahih bahawa bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah mengeluarkan addendum terbabit.
“Namun, beliau tidak menunjukkan ada usaha untuk berkomunikasi dengan Istana Negara atau Istana Pahang mengenai perintah addendum itu,” kata Dusuki di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Malaya Tan Sri Hasnah Hashim.