Umno, Pas Setuju Muhyiddin Calon PM Selepas PRU 15 Kata Annuar Musa

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Umno dan PAS bersetuju untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, parti itu menzahirkan kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15.

“PAS menzahirkan dukungan kepada kepimpinan Muhyiddin dan permuafakatan politik Perikatan Nasional (PN) demi mensejahterakan negara dan rakyat,” katanya di Facebooknya.

Sementara itu Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, secara prinsipnya kedua-dua parti bersetuju untuk menamakan atau menyokong, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterusnya.

“Ini akan dibawa dalam saluran parti masing-masing.

“Di peringkat jawatankuasa bersama MN yang saya setiausaha agungnya memang betul apa disebutkan oleh presiden PAS itu adalah ia telah dibincangkan bersama.

“Pendirian PAS dan Umno dalam soal ini adalah pendirian sama. Saya sahkan,” katanya pada sidang media penyerahan surat tawaran permit sementara perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) kepada penjaja di Setapak Indah di sini, hari ini.

Semalam, pemimpin Barisan Nasional, PAS serta parti dari Sarawak dan Sabah mengisytiharkan sokongan kepada gabungan PN yang diketuai Muhyiddin “demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara”.

Sokongan itu disuarakan dalam mesyuarat 2 jam di Putrajaya yang dihadiri presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Abdul Hadi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Turut hadir Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Abang Johari Openg; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Joseph Kurup dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Dalam pada itu, Annuar berkata, dalam mesyuarat MN sebelum ini Umno dan PAS bersetuju untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

PN merupakan gabungan politik yang muncul berikutan tumbangnya kerajaan PH pimpinan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Mac lepas, sekali gus menyaksikan pelantikan presiden PPBM itu sebagai ketua kerajaan yang baru.

Pada 17 Mei, PPBM, Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman bagi mengesahkan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat