SPRM tunggu arahan lanjut Peguam Negara isu siasatan hakim

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata SPRM sudah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan yang timbul dan kertas siasatan juga sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Bagaimanapun, saya enggan memberi sebarang kenyataan lagi dalam isu ini kerana siasatan sudah kami lengkapkan.

“Kita sudah lengkapkan dan sudah serahkan semuanya kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti, setakat ini kita menunggu arahan selanjutnya,” katanya memetik BH di Putrajaya pada Khamis.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dan Azam ketika itu berkata siasatan berkenaan adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.

Terdahulu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.