KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO secara rasminya telah menubuhkan satu lagi entiti Putera UMNO sebagaimana Skuad Sabil dan Kelab UMNOSiswa.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengangkat Farhan Mokhali sebagai Ketua Putera UMNO yang pertama.

Tahniah saudara Farhan yang saya lantik sebagai Ketua Putera UMNO beserta ahli-ahli Jawatankuasa Putera UMNO peringkat Kebangsaan.

“Mereka ini sudah melalui proses latihan dan pemilihan berpusat pada penghujung Februari lalu. Malam tadi selepas Halaqah Ilmu di rumah, saya umumkan nama-nama yang terpilih untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Putera UMNO Malaysia. Selebihnya akan diserapkan di di peringkat jawatankuasa negeri-negeri,” kata Asyraf dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau untuk tempoh setahun pertama ini, semua Jawatankuasa yang dilantik ini bertaraf Protem/Penaja.

“InsyaAllah selepas setahun apabila organisasi sudah mantap dan gerak kerja pengkaderan anak muda mula berjalan dengan lancar, proses pemilihan secara demokratik dikalangan mereka akan dilaksanakan.

“Menariknya meraka adalah anak-anak muda cukup berketrampilan yang berumur antara 18 hingga 25 tahun dengan latar belakang unik termasuk Hafiz al-Quran, instafamous, pemimpin mahasiswa, bekas pelajar terbaik STPM Malaysia, juara pidato, ahli korporat muda, usahawan muda dan lain-lain.

“Mereka saya berikan amanah awal untuk segera turun ke negeri-negeri selain membentuk organisasi di peringkat negeri juga anjurkan pelbagai program mendekati anak muda termasuklah sesi-sesi townhall untuk mengutip idea dan aspirasi mereka bagi dimasukkan dalam Manifesto BN untuk PRU akan datang,” ujarnya.

Asyraf menjelaskan kumpulan teras ini akan beliau bimbing secara peribadi dan sudah mewajibkan mereka untuk hadir Halaqah Ilmu di rumahnya secara berkala.

“Sudah menjadi antara agenda dan tekad saya tatkala diberi amanah selaku KPUM untuk membina dan membangunkan generasi pewaris UMNO yang beridealisme dan punya roh perjuangan berpaksikan prinsip Islam sejati.

“Moga Allah berkati dan rahmati usaha membina generasi pewaris perjuangan masa depan UMNO demi Agama, Bangsa dan Tanahair tercinta,” ucapnya.