KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Jun 2022 bersetuju harga maksimum runcit ayam standard, ayam super dan telur ayam menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelanjutan tempoh ini adalah untuk memastikan Keluarga Malaysia bersedia dengan perubahan harga
apabila penentuan harga ini berakhir pada 30 Jun 2022 nanti.

Menurut beliau, sebagai kerajaan yang prihatin, Kementerian Kewangan akan meneliti cadangan pemberian bantuan untuk golongan sasar berpendapatan rendah termasuklah kadar dan mekanisme penyaluran bantuan bagi menangani kenaikan harga barang apabila penentuan harga maksimum ayam dan telur tamat pada 30 Jun 2022 nanti.

“Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam in telah dilaksanakan sejak 5 Februari 2022 dan sepatutnya berakhir pada 5 Jun 2022 di mana harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung
Malaysia telah ditetapkan seperti ayam bulat standard: RM8.90 / kg; avam bulat super: RM9.90 / kg; telur ayam gred A: RM0.43/ biji; telur ayam gred B: RM0.41/ biji dan telur ayam gred C: RM0.39/biji.

“Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, Harga Maksimum Ayam dan Telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tegas beliau, pegawai-pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan terus meningkatkan penguatkuasaan setiap hari di seluruh negara untuk menentukan bekalan sentiasa stabil dan tiada pencatutan berlaku di pasaran.

Dalam pada itu, Alexander menambah, kerajaan mengingatkan kepada komuniti peniaga supaya sentiasa beretika dalam menjalankan perniagaan dan tidak mencatut untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah.

“Kerajaan juga ingin menyeru agar semua pengguna untuk menggunakan kuasa beli mereka dalam membeli mengikut keperluan dan berbelanja secara berhemah.

“Pelaksanaan penentuan harga ini akan berkesan sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing termasuklah dengan cara menyalurkan aduan dan maklumat kepada KPDNHEP sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar undang-undang ditetapkan,” kata beliau.