KUALA LUMPUR, — Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa parti itu tidak akan sesekali menggadaikan prinsip perjuangan walaupun berdepan tekanan politik, kehilangan jawatan mahupun kekalahan kerusi.
Menurut beliau, UMNO kekal sebagai parti berprinsip yang tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak, sebaliknya terus mempertahankan asas perjuangan melibatkan agama, bangsa dan tanah air.
“UMNO boleh hilang jawatan, boleh kalah kerusi, UMNO boleh ditekan kawan dan lawan, tetapi UMNO tidak akan sesekali biarkan prinsipnya tergadai,” tegas beliau dalam ucapan sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Dalam ucapan bertajuk “Aku Budak UMNO”, beliau menegaskan bahawa perjalanan 80 tahun parti itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan sejarah panjang perjuangan yang penuh cabaran, pengorbanan dan ketahanan.
Beliau turut menekankan bahawa walaupun prinsip parti tidak boleh berubah, pendekatan dan cara UMNO mendekati rakyat, khususnya golongan muda, perlu disesuaikan dengan perubahan zaman.
“Cara kita bercakap, cara kita mendekati rakyat dan orang muda mesti berubah. Kita tidak boleh guna pendekatan lama untuk menjawab keresahan generasi hari ini,” katanya.
Mengulas mengenai generasi muda, Dr Akmal berkata golongan itu tidak hanya mahukan calon muda, sebaliknya mahukan pemimpin yang memahami realiti kehidupan mereka seperti isu pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan dan masa depan.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan lebih dekat dengan anak muda telah membuahkan hasil apabila UMNO berjaya meraih sokongan dalam beberapa pilihan raya termasuk di Nenggiri, Mahkota, Ayer Kuning dan Kunak.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa langkah memperkenalkan pendaftaran ahli UMNO secara dalam talian menjadi simbol perubahan penting dalam parti, dengan lebih 14,000 pendaftaran direkodkan setakat ini, termasuk lebih 8,000 daripada golongan Pemuda.
“Ini menunjukkan orang muda masih berminat. Bila kita mudahkan, mereka datang. Bila kita dekati, mereka buka hati,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar konsep “Rumah Bangsa” yang diketengahkan kepimpinan parti diterjemahkan secara praktikal dengan membuka ruang seluasnya kepada anak muda untuk menyertai dan menyumbang dalam UMNO.
Selain itu, Dr Akmal menegaskan bahawa UMNO tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan prinsip, termasuk mempertahankan Perlembagaan, institusi Raja-Raja Melayu dan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru seluruh ahli UMNO agar memperkukuh perpaduan, merapatkan saf dan bersiap siaga menghadapi pilihan raya akan datang bagi mengembalikan mandat rakyat kepada parti itu.
“Kalau kita sayang UMNO, kita mesti berpegang teguh. Kalau kita mahu UMNO terus hidup, kita mesti siap siaga,” katanya sambil mengajak generasi muda untuk bangga menyatakan pendirian bersama parti itu dengan laungan, “Aku Budak UMNO.”



