KUALA LUMPUR : Biarpun bergelar selebriti dan hidup dikelilingi ramai orang, penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow, 43, mengaku kadang kala dirundung sunyi.
Perasaan sunyi itulah yang diterjemahkan menerusi single terbaharu menggunakan tajuk sama, Sunyi.
Joe atau nama sebenar, Johan Ishak berkata, idea menghasilkan single Sunyi datang ketika berkunjung ke New York, Amerika Syarikat (AS).
“Ilham datang ketika saya menginap di Times Square, New York. Biasanya kalau ke New York, saya tidak akan tinggal di Times Square.
“Lokasi itu menjadi antara tempat paling sibuk di dunia. Namun, di sebalik kesibukan kota itu, saya tiba-tiba rasa sepi dan sunyi dalam hidup saya.
“Dengan berjauhan dari tempat asal, detik itu benar-benar mencetuskan ilham yang membawa kepada penciptaan lagu ini,” katanya.
Joe berkata seperti judulnya, Sunyi boleh membawa maksud sepi dan dia percaya rakan selebriti pernah melalui perasaan sama.
“Saya percaya ramai orang mampu merasai lagu ini, terutama selebriti.
“Ramai sangka kemasyhuran dan populariti menjadi tujuan utama selebriti. Tetapi ramai lupa kadang-kala mereka juga kesunyian.

“Apatah lagi ketika berada di puncak kerjaya. Sunyi juga menggambarkan kesepian. Definisi inilah yang memberi makna kepada lagu ini,” katanya.
Dicipta dan disusun SonaOne manakala lirik dihasilkan Joe, Sunyi turut menyaksikan pembabitan Magic Potions dan SonaOne sebagai penerbit bersama.
Selepas menulis single Sunyi, Joe berkongsi karya itu dengan rakan seperjuangannya, Alyph dan SonaOne dengan harapan mereka mahu merakamkan lagu berkenaan.
Bagaimanapun, tambah Joe, Alyph dan SonaOne berpendapat agar Joe merakamkannya sendiri.
“Saya fikir lagu ini sesuai untuk mereka rakam dan lancarkan. Tetapi selepas mendengarnya, mereka beritahu lebih baik saya yang menyanyikannya.
“Lagipun, sudah lama saya tidak rakam dan nyanyikan lagu sendiri. Disebabkan lagu ini agak peribadi buat saya, saya teruskan idea merakamkannya seperti yang dicadangkan,” katanya.
Mendengar single ini, sebahagian besar dendangan menyaksikan Joe lebih banyak menyanyi berbanding mengalunkan rap seperti kebiasaannya.
Sunyi juga hadir dengan video muzik yang menggambarkan perjalanan kerjaya Joe sebagai anak seni.
Bekas anggota kumpulan duo Too Phat ini memberitahu, peminat boleh menyaksikan beberapa rakaman lama yang ditemui sejak 15 tahun lalu, dalam jelajah seninya.
“Melalui video ini, saya mahu tunjukkan rasa syukur kerana berjaya merealisasikan impian saya sejak 15 tahun lalu,” katanya.
Joe berkata, cabaran meletakkan nama Malaysia di persada dunia hip hop global bukanlah mudah. Sehubungan itu, Sunyi dianggap dedikasi buat rakan seperjuangan dan bapanya, Allahyarham Ishak Nengah.
“Pelbagai pengorbanan terpaksa dibuat. Mereka (komuniti hip hop) kehilangan ramai orang termasuk arwah ayah saya sendiri. Jadi ini adalah satu dedikasi buat ayah.
“Saya harap lagu ini mampu mengingatkan semua orang bahawa anda tidak sendirian dan tiada salahnya jika kadang kita tidak okay.
“Kita berhak sedih dalam menghadapi liku hidup. Semoga lagu ini mampu menjadi teman saat kesunyian. Ingatlah bahawa, akan sentiasa ada sinar di hujung kegelapan. Insya-Allah,” katanya.
Berita Harian