TNB sanggah dakwaan bil elektrik naik mulai April, jangan resahkan rakyat

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) menafikan dakwaan tarif elektrik akan dinaikkan bermula bulan April ini.

Syarikat utiliti negara itu menyifatkan maklumat yang tular di media sosial itu sebagai tidak benar dan mengelirukan.

TNB menjelaskan, sebarang pelarasan kos elektrik ketika ini tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Menurutnya, mekanisme AFA yang dilaksanakan sejak Julai 2025 ditentukan berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar tukaran mata wang asing, dengan pelarasan dibuat secara bulanan dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Sehubungan dengan itu, TNB memaklumkan pihaknya akan melaporkan penyebaran maklumat palsu berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Syarikat itu juga menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan serta keresahan awam.

Pengguna disaran merujuk saluran rasmi TNB bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai sebarang perubahan berkaitan kadar elektrik negara.

Sebarang pertanyaan atau maklumat meragukan boleh disalurkan melalui mesej secara terus di Facebook TNB Careline dan platform X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke [email protected].

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu berhubung harga bahan api dan elektrik di tengah-tengah lonjakan harga tenaga akibat konflik Asia Barat.

Beliau berkata, SKMM telah mengesan 96 kes berita palsu mengenai harga bahan api dan elektrik di media sosial, memberi amaran bahawa maklumat sedemikian boleh mengelirukan orang ramai dengan mudah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat