Media perlu perkukuh etika pelaporan tragedi, jaga sensitiviti mangsa – CMCF

CYBERJAYA — Pengamal media disaran mendahulukan nilai kemanusiaan dengan menghormati maruah mangsa, selain memperkukuh kawalan editorial dalam pelaporan insiden tragis termasuk penyiaran bahan visual, bagi mengelakkan kesan trauma berulang serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Bercakap kepada Suara TV, Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata, pengamal industri perlu lebih bertanggungjawab dalam menentukan kandungan yang disiarkan, khususnya apabila melibatkan tragedi yang menyentuh emosi masyarakat.

“Dalam usaha kita melaporkan sesuatu kejadian, kita tidak boleh mengetepikan kesan kepada mangsa dan keluarga mereka. Setiap visual atau imej yang dipaparkan perlu diteliti dengan penuh empati kerana ia boleh memberi kesan emosi yang mendalam, bukan sahaja kepada waris tetapi juga kepada masyarakat umum.

“Perkongsian tanpa kawalan boleh memberi kesan besar. Justeru, pendekatan bersepadu antara semua pihak amat penting bagi memastikan kandungan yang disebarkan kekal beretika dan menghormati nilai kemanusiaan,” katanya selepas sesi taklimat kepada media berkaitan garis panduan kandungan disini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Pengamal media perlu membezakan dengan jelas antara kepentingan awam dan perhatian awam, terutama dalam landskap digital yang semakin mencabar.

“Tidak semua perkara yang mendapat perhatian ramai itu membawa nilai kepada masyarakat. Kepentingan awam merujuk kepada maklumat yang benar-benar perlu diketahui, manakala perhatian awam sering dipacu oleh rasa ingin tahu semata-mata.

“Oleh itu, permintaan terhadap kandungan sensasi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengeksploitasi penderitaan individu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran media masa kini semakin kompleks dengan kehadiran wartawan warga dan pengguna media sosial yang turut menyebarkan maklumat tanpa garis panduan etika yang jelas.

“Media hari ini bukan sahaja bersaing sesama sendiri, tetapi juga dengan individu yang bertindak sebagai ‘pemberita’ di platform digital. Namun, tidak semua memahami prinsip kewartawanan yang menekankan tanggungjawab, ketepatan dan sensitiviti.

“Media perlu memainkan peranan sebagai penanda aras dalam menetapkan standard yang beretika,” ujarnya.

Tambah beliau, organisasi media disaran mengelakkan penyiaran imej yang bersifat grafik atau boleh mengaibkan mangsa walaupun bahan tersebut mudah diperoleh.

“Kita mungkin mempunyai akses kepada pelbagai bahan visual di lokasi kejadian, tetapi itu tidak bermakna semuanya perlu dikongsi kepada umum. Penilaian perlu dibuat sama ada kandungan tersebut memberi nilai maklumat atau sekadar mengejutkan emosi penonton. Jika tiada kepentingan jelas, sebaiknya ia tidak disiarkan,” katanya.

Mengulas peranan masyarakat, beliau turut menyeru orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dengan tidak menyebarkan kandungan sensitif.

“Sebagai pengguna, kita mempunyai kuasa untuk menentukan apa yang terus tular. Elakkan daripada menyukai, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan yang tidak sensitif. Sekiranya kandungan itu melanggar garis panduan platform, laporkan agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab memastikan ekosistem kandungan yang sihat tidak boleh diletakkan kepada satu pihak sahaja seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Dalam dunia digital hari ini, kawal selia kandungan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pengguna, platform, industri dan badan pengawal selia. Kita tidak boleh hanya menyalahkan satu pihak apabila berlakunya penyebaran kandungan tidak beretika,” jelasnya.

Taklimat tersebut diadakan susulan peningkatan penyebaran gambar dan video kemalangan oleh orang awam di media sosial, yang menimbulkan kebimbangan terhadap kesan psikologi serta pelanggaran privasi mangsa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat