KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan sekiranya keadaan di Selat Hormuz
kembali normal pada bulan April, kerosakan ini mungkin hanya bersifat sementara dan masih boleh diurus.
Tetapi katanya, jika gangguan berlarutan hingga Mei atau Jun, tekanan akan beralih daripada sekadar kos yang lebih tinggi
kepada tekanan aliran tunai sebenar dalam komuniti luar bandar serta kemungkinan keperluan penambahan program bantuan oleh agensi kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, percayalah, krisis ini bukan bersifat untuk menakut-nakutkan, tetapi untuk dihadapi dengan tindakan yang efektif dan berkesan.
“Kerajaan telah bertindak secara proaktif melalui langkah mitigasi, termasuk memastikan kesinambungan subsidi, kestabilan harga serta intervensi bersasar bagi melindungi rakyat.
“Tanggungjawab kita pula adalah memastikan masyarakat luar bandar terus mampu bertahan daripada tempias krisis global ini,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW pada Khamis.
Zahid menegaskan, konflik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran hari ini bukan lagi sekadar pertikaian serantau.
Sebaliknya kata beliau, ia telah menjadi krisis global yang menguji kestabilan ekonomi dunia dan secara langsung memberi kesan kepada negara kita.
“Gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga utama seperti Selat Hormuz yang mengendalikan hampir 20 peratus perdagangan tenaga global, telah menyebabkan lonjakan harga minyak dunia sehingga mencecah lebih 60 peratus dalam tempoh singkat.
“Ini telah memberi kesan langsung terhadap angka di pasaran global yang membawa kepada kenaikan kos sara hidup, kos logistik, dan tekanan inflasi di negara kita.
“Kita perlu menyedari hakikat bahawa tekanan ini bukan bersifat andaian. Pada 30 Mac lalu, harga minyak Brent telah mencecah sekitar AS$115.55 setong, meningkat hampir 60 peratus berbanding 27 Februari.
“Kenaikan ini memberi kesan langsung kepada kedudukan fiskal negara apabila kos subsidi bahan api melonjak daripada sekitar
RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu.
“Inilah sebab utama mengapa kawasan luar bandar Malaysia turut terkesan, walaupun konflik tersebut berlaku jauh dari rantau ini,” kata Zahid.
Tambah beliau, sebagai peneraju kemajuan desa, kita juga melihat bahawa kesan ini turut memberi implikasi langsung dan
tidak langsung terhadap kesejahteraan 8.1 juta masyarakat desa.
“Dalam jumlah tersebut, pekebun kecil getah yang menyumbang kira-kira 84.7 peratus daripada pengeluaran getah asli negara merupakan golongan paling terdedah kepada peningkatan kos input dan ketidaktentuan harga komoditi.
“Lebih 224 ribu komuniti Orang Asli kini berdepan cabaran apabila kenaikan kos bahan api menjejaskan bekalan air, pengangkutan pelajar, perkhidmatan kesihatan serta penyaluran bantuan asas ke kawasan pedalaman.
“Bayangkan… jika kita di bandar ini sudah mula merasakan tekanannya, maka di desa kesannya berlipat kali ganda. Harga makanan meningkat. Kos ulang-alik bertambah. Pengangkutan sekolah menjadi beban. Kos penghantaran juga melonjak, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat ekonomi.
“Bayangkan… seorang peniaga kecil, pesawah padi, nelayan yang bergantung kepada diesel dan subsidi untuk meneruskan operasi.
“Bayangkan… apabila keuntungan yang kecil usahawan desa semakin terhakis sedikit demi sedikit, sehingga ada yang terpaksa memilih antara meneruskan usaha… atau mengurangkan keperluan keluarga,” katanya.



