Hampir sejuta dos vaksin Sinovac dijangka diberi kepada rakyat Malaysia hujung bulan ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hampir satu juta dos vaksin Sinovac dijangka diberikan kepada rakyat Malaysia pada hujung bulan ini selepas negara memulakan pemberian vaksin dari China itu pada 18 Mac lepas.

Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata perkara itu dapat dilaksanakan setelah data proses validasi (PV) pengilangan kelompok dan data kajian kestabilan vaksin dapat disediakan pertengahan April ini, bagi melengkapkan permohonan pendaftaran sebelum diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Setakat hari ini kita telah menyediakan hampir 200 ribu vial vaksin yang telah diedarkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM). Kita juga dalam proses mendapatkan kelulusan NPRA untuk produk ‘fill and finish’ yang sekarang ini berada di kilang kita lebih kurang 300,000 dos.

“Pada masa yang sama juga kita telah menerima lebih kurang 400 liter (vaksin) lagi dan akan kita membuat proses fill and finish itu di kilang kita,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Pharmaniaga.

Zulkarnain berkata sasaran itu sekali gus dapat memenuhi hasrat kerajaan yang menjangkakan Pharmaniaga mampu mengeluarkan dua juta dos vaksin Sinovac setiap bulan bagi menjamin aspek bekalan yang stabil di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi MARA Datuk Azizah Mohd Dun berkata kerjasama MARA, Pharmaniaga dan Macro Tech Ventures Sdn Bhd melalui MoU itu bertujuan memajukan usahawan selain melengkapkan ekosistem perniagaan yang kondusif serta meluaskan rantaian bekalan ubatan dan peralatan farmaseutikal bagi menjana sosioekomi Bumiputera agar lebih mampan.

“MARA menandatangani MoU bersama dengan Pharmaniaga kerana dalam zaman sekarang ini khususnya apabila kita berhadapan dengan pandemik COVID-19, kita dapati bahawa ubat-ubat dan kesihatan itu penting.

“Begitu juga dengan Macro Tech ataupun Dropee, ia adalah satu platform untuk peniaga kita secara dalam talian perniagaan ke perniagaan untuk memajukan lagi perniagaan mereka selain dapat membesarkan rantaian mereka bukan hanya bersemuka tapi secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Macro Tech Ventures Sdn Bhd, Aizat Rahim berkata kerjasama dengan MARA itu dapat membantu perniagaan bumiputera di luar bandar memasarkan perniagaan dan menjimatkan kos operasi.

“… dengan agensi sebesar MARA, bekerjasama dengan Dropee akan membantu mencapai banyak perniagaan bumiputera luar bandar yang boleh menyertai bagi menjimatkan lebih banyak kos operasi mereka selain untuk membantu mereka mendigitalkan dan meningkatkan sebahagian penjualan mereka di bawah platform,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat