Bertiga Lebih Baik Daripada Berdua, PAS Masih Sayangkan UMNO, Cuba Selesaikan Konflik Rebut Kerusi – Tuan Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS tetap berpendirian bahawa muafakat antara tiga parti yakni bersama UMNO dan Bersatu adalah jalan terbaik.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, “kenapa perlu pilih yang kurang baik. Mari kita jadikan panduan Allah dalam usaha menyelesaikan kemelut yang berlaku,” ujar beliau mengulas situasi semasa politik tanah air.

“Dalam apa jua muafakat politik, kerusi menjadi persaingan. Dalam satu parti pun ianya menjadi rebutan, apatah lagi dalam gabungan pelbagai parti.

“Namun kaedah perpakatan yang ada jangan kedekut, yang minta jangan tamak. Ada waktu kita kena korban apa yang kita sayang untuk elak mudarat yang lebih besar.
Jangan menang sorak, kampung tergadai. Menyanyilah lagu anak kecil bermain api, kalau tidak dihayati, ia akan membakar diri,” jelas Menteri Alam Sekitar dan Air.

Beliau berkata, bertolak kepada pendirian UMNO yang tidak akan bekerjasama dengan Bersatu bila parlimen dibubarkan, ia telah menjadi keputusan seolah-olah ‘point no return’ bagi UMNO, maka kini ramai pihak meluahkan usaha agar Muafakat Nasional (MN) diperkukuhkan antara dua parti sahaja.

Namun bagi PAS tegas beliau, asas pembentukan harus dilihat dalam kerangka semasa, bukan kerangka sebelum pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kalau semua kita sepakat membentuk Kerajaan PN dan kita berjaya menumbangkan PH, dan kita tidak kisahpun soal kerusi yang lompat pada masa itu, kita gembira atas muafakat ini dan rakyat juga gembira atas apa yang telah kita lakukan, kenapa kerjasama ini perlu dipisahkan. Kenapa kini kita hilang pertimbangan dengan melupai asas pembentukan MN waktu kita jadi pembangkang dan tidak menghargai situasi kini yang kita dapat bentuk kerajaan bersama.

“Apakah kita rasa cahaya dihujung terowong yang dilihat cerah, maka lampu ditangan perlu dibuang.

“Apakah bila hujan berhenti, maka payong perlu dicampakkan.

“Hebatkah kita kerana merasai kita kuat dengan ahli berjuta, lalu kita rasa dahulu sama dengan sekarang. Apakah dua parti lebih baik dari tiga kerana mendapat lebih banyak kerusi untuk bertanding, lalu kita berangan-angan akan pasti menang,” katanya.

Tuan Ibrahim berpendapat, politik ialah usaha membanyakkan kawan dan mengurangkan musuh.

Menurut beliau, MN diasaskan di saat PAS dan UMNO menjadi pembangkang. Pelbagai isu yang berlaku sama ada melibatkan kepentingan umat Islam dan Melayu yang terjadi pada masa itu.

Katanya, ia telah melahirkan kerjasama yang erat dan ditambah dengan persefahaman politik dalam 10 pilihan raya kecil (PRK).

“Tujuannya agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru yang mengakibatkan PAS atau UMNO akan kerugian. Maka sekiranya UMNO masuk PRK maka PAS tidak akan menyertainya, begitulah sebaliknya.

“Muafakat politik ini berjalan di semua 10 PRK yang memperkukuhkan asas pembentukan MN.Dalam Pembentukan MN dinyatakan dengan jelas bahawa PAS dan UMNO adalah teras Muafakat, namun sedia menerima mana-mana parti politik, atau NGO yang ingin bersama dalam usaha memperkukuhkan penyatuan ummah ini.

“Semuanya terjadi sebelum tumbangnya kerajaan PH. Namun atas usaha semua pihak dan kesepakatan semua samada PAS, UMNO, Bersatu, sebahagian PKR, Maka terbentuklah Kerajaan PN.

“Kita raikan pembentukan ini dengan penuh kegembiraan. Rakyat menyambut baik walaupun kerajaan ini dibentuk dalam suasana Covid-19 mula melanda negara, kita hadapi bersama sebagai satu team dalam kerajaan,” katanya.

Tuan Ibrahim mendedahkan, dalam beberapa siri mesyuarat MN, kita sedia menerima Bersatu menjadi rakan dalam MN.

” Kedua-dua Presiden (PAS dan UMNO) telah mengutus surat menjemput Bersatu menyertai gabungan ini, dan Bersatu telah menyatakan persetujuan ke arah itu. Sayangnya surat persetujuan itu tidak disambut sehingga kini.

“Ia terjadi kerana UMNO kecewa bila PN didaftarkan sebagai gabungan parti. Ia dilihat penting bagi kerajaan PN kerana ada parti yang mendokong kerajaan.
UMNO membuat keputusan kekal dalam gabungan BN. Usaha untuk mendaftarkan MN gagal kerana nama MN telah ada pihak yang terlebih dahulu didaftarkan.

“UMNO telah lebih awal membuat keputusan untuk menggunakan lambang BN dalam PRU akan datang, manakala PAS masih mengkaji kesesuaian logo. Parti akan membuat keputusan setelah mendapat panduan Majlis Syura nanti,” ujar beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat