KUALA LUMPUR- Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada bekas Menteri Sains dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin hari ini.
Permintaan maaf Jamal itu sebahagian penyelesaian dalam tuntutan saman kerana memfitnah Bee Yin.
Jamal membacakan permintaan maaf daripada pernyataan yang telah disediakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini di hadapan wartawan dan pegawai media yang lain.
“Saya, Jamal Md Yunos memohon maaf kerana memfitnah YB Yeo Bee Yin sebelum ini dan saya sekarang mengakui bahawa YB Yeo Bee Yin seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.
“Saya ingin memohon maaf kepada YB Yeo Bee Yin atas kesilapan saya ini. Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin,” ucap Jamal.
Pada 14 Jun 2017, Bee Yin sebagai plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta atas dakwaan Jamal sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Bee Yin mendakwa pada 21 Mac 2017, defendan mengadakan sidang media dan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya berhubung penyalahgunaan dana Yawas.
Dalam pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bakri, Johor itu mendakwa pernyataan berbaur fitnah itu disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita serta turut diterbitkan dalam laman sosial Facebook milik Jamal.
Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, plaintif turut memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi pernyataan itu.
Bee Yin tidak hadir di mahkamah hari ini.
Awal hari ini semasa prosiding Mahkamah Tinggi terbuka, Hakim Rohana Ali Yusof merekodkan penyelesaian antara pihak terlibat seperti yang disampaikan oleh peguam mereka. -SuaraTV