KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz menyamakan kerajaan hari ini ibaray perahu karam sebelah.
Beliau menegaskan, rakyat berhak mendapat penjelasan daripada keputusan-keputusan mahkamah yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan berkait Datuk Seri Zahid Hamidi dapat melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) manakala Datuk Seri Najib dapat pengampunan.
“Melawan rasuah jangan memilih milih.
“Kerajaan hari ini sudah jadi bagai perahu karam sebelah.Memalukan,” bidas Amira pada Jumaat di Facebooknya.
Hari ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya dan denda yang perlu dibayar selepas disabitkan kesalahan pada 2022.
Sekali gus menyaksikan beliau itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan, hari ini, mengumumkan tarikh pembebasan awal itu dengan denda yang perlu dibayar dikurangkan daripada RM210,000,000 kepada RM50,000,000.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.