Pelakon perlu tauliah FINAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berpegang matlamat meningkatkan tahap profesionalisme penggiat seni melalui mekanisme pentauliahan yang sistematik, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menilai prestasi dan latar belakang setiap pelakon di bawah program penambahbaikan Padu Citra.

Melalui inisiatif ini, FINAS percaya peluang untuk pengamal industri terutama mereka yang terbabit dalam industri lakonan terbuka luas, selain pada masa sama, meningkatkan standard sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nazri, berkata Padu Citra mensasarkan hanya individu berkaliber bergiat dalam industri kandungan kreatif, namun, tidak meminggirkan penggerak lain yang masih aktif.

“Pentauliahan yang sedang dilaksanakan ini dibuat dalam beberapa peringkat. Untuk pelakon, lain caranya, penggiat belakang tabir berbeza bentuknya.

“Sama juga dengan penerbit dan penggiat industri lain, masing-masing ada mekanisme tersendiri.

“Untuk pelakon yang sedia ada, kita akan lihat daripada segi penyertaan dan maklumat yang dikumpul pangkalan data.

“Kita akan lihat portfolio mereka seperti pencapaian dan tempoh mereka berada dalam industri.

“Menerusi kerjasama kita dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), FINAS akan menilai prestasi pelakon terbabit mengikut tahap sijil kemahiran yang dikeluarkan jabatan itu.

“Penilaian ini akan dibuat mengikut kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

 

Ahmad Idham menjelaskan penambahbaikan Padu Citra bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme penggiat seni termasuk pelakon. Foto Ihsan FINAS
Ahmad Idham menjelaskan penambahbaikan Padu Citra bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme penggiat seni termasuk pelakon. Foto Ihsan FINAS

 

“Kaedah ini adalah dengan memberi pengiktirafan kepada mana-mana individu yang boleh membuktikan keterampilan digariskan dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) berdasarkan kepada pengalaman dan pencapaian terdahulu,” katanya kepada BH Online.

Ahmad Idham menolak tanggapan syarat diperkenalkan itu sebagai suatu sekatan untuk bakat baharu menceburi bidang lakonan.

Sebaliknya, beliau menegaskan, fungsinya lebih kepada memberi kemudahan kepada individu yang berminat dalam industri lakonan untuk mengejar cita-cita.

“Saya tidak fikir syarat ini boleh menyekat sesiapa. Dengan cara ini, mereka lebih nampak ‘pintu masuk’ mereka ke dalam bidang ini.

“Sebelum ini, kita tidak nampak cara jelas untuk menyertai bidang seni. Mungkin ada antara mereka terpaksa melobi pihak tertentu atau terkapar-kapar dalam mencari peluang yang dia sendiri kabur.

“Walaupun ketika ini ramai yang beranggapan media sosial adalah jalan mudah, namun, ia bukanlah modul yang diiktiraf,” katanya.

Ahmad Idham berkata, penambahbaikan yang dibuat membolehkan bakat baharu nampak ‘pintu’ yang boleh membawa mereka menggapai impian.

“FINAS akan memainkan peranan memperkenalkan mereka kepada industri,” katanya.

Beliau berkata, FINAS juga akan menyediakan pangkalan data yang akan mengumpulkan maklumat berkaitan untuk memudahkan mana-mana pihak mencari bakat diperlukan.

“Kami sedang membina portal yang akan memuatkan maklumat dan data penggiat industri yang sudah diberi pentauliahan.

“Data ini bukan sahaja boleh digunakan dalam negara, malah untuk dimanfaatkan pemain industri antarabangsa.

“Katalah mereka mahu mencari pelakon dan kru untuk bekerja dengan produksi mereka, pangkalan data yang kita sediakan ini boleh digunakan.

“Syarikat produksi boleh menghubungi pihak terbabit secara langsung jika mereka memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.

Biarpun ada suara-suara nakal yang mempertikaikan penambahbaikan ke atas Padu Citra, Ahmad Idham percaya inisiatif itu mampu membawa anjakan baharu kepada landskap industri perfileman tempatan.

“Cabaran utama saya dalam menggerakkan usaha ini adalah untuk memberi kefahaman kepada pemain industri. Mereka ini cepat bersuara sebelum faham tujuan usaha itu dilakukan,” katanya.

Ahmad Idham berkata, FINAS akan memberi pentauliahan kepada 300 peserta kumpulan pertama yang menyertai program akreditasi, dalam bulan ini.

“Peserta ini merangkumi pelakon dan penggiat belakang tabir.

“Berilah saya peluang… Saya yakin, selepas kumpulan pertama ini diberi pentauliahan, industri akan faham perspektif FINAS dalam inisiatif ini,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat