KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas boleh dipertimbangkan untuk mengetuai Perikatan Nasional (PN).
Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Ahmad Yahaya berkata, beliau bersetuju dengan perkara itu yang didakwanya turut mendapat cadangan pelbagai pihak bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“1 Januari 2026. Saya nampak banyak pihak cadang Sanusi sebagai Pengerusi PN. Cadangan yang menarik, saya setuju,” katanya menurut Utusan di Alor Setar.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Sanusi merupakan seorang ahli politik yang amat dikenali dan mudah didekati.
Menurut Ahmad lagi, Pengerusi PN Kedah itu juga diterima rakyat pelbagai latar belakang dan mampu meraih sokongan anak muda.
“Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti, pengundi muda jadi penentu dan Sanusi turut digeruni lawan dan memahami situasi politik negara,” katanya.
PN kini tidak memiliki nakhoda ekoran pengunduran Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang berkuatkuasa hari ini, akibat kemelut dalaman antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Peletakan jawatan beliau turut disusuli dengan pengosongan jawatan Setiausaha Agung PN oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa Pengerusi PN negeri yang disandang pemimpin Bersatu.
Sementara itu, Bersatu Kelantan tidak menolak kemungkinan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan mengetuai PN selepas Muhyiddin meletak jawatan sebagai pengerusi berkuatkuasa semalam.
Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md. Noor berkata, hal ini kerana hanya Pas dan Bersatu yang merupakan parti besar dalam gabungan berkenaan.
“Logiknya Pengerusi PN nanti adalah dari Pas. Mengikut perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN adalah ketua parti masing-masing dan jika Pas yang mengetuai PN nanti sudah tentulah Abdul Hadi.
“Sebelum ini pun Muhyiddin pernah menawarkan jawatan berkenaan kepada Abdul Hadi, namun ditolak,” katanya kepada pemberita berkata selepas menyambut ketibaan pelancong di pintu masuk sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) semalam.
Kamarudin memberitahu, pelantikan Pengerusi PN dijangka akan dibuat dalam masa terdekat selepas perbincangan bersama ketua-ketua parti mendapat kata sepakat.
Katanya, Bersatu tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pengerusi PN yang dilantik nanti adalah dari Pas.



