2,882 Kes Baru Covid-19, Hanya 49 Kes Kategori Tiga Ke Atas

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sedikit penurunan kes harian setakat tengah hari tadi apabila sebanyak 2,882 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan, menyumbang kepada sejumlah 2,764,354 kes di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada bilangan kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 2,549 kes adalah penularan tempatan, membabitkan 2,478 atau 97.2 peratus warganegara dan 71 pesakit atau 2.8 peratus lagi bukan warganegara.

Beliau berkata, KKM turut mengesan sebanyak 333 kes import yang membabitkan 313 warganegara dan 20 lagi warga asing.

“Daripada 2,882 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 49 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 2,833 kes atau 98.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 284 kes dan sebanyak 156 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hanya satu kluster jangkitan dikesan hari ini, menjadikan jumlah kluster jangkitan COVID-19 kini sebanyak 6,134 dengan 5,925 kluster sudah ditamatkan dan 209 lagi masih aktif.

Beliau berkata, KKM turut melaporkan sebanyak 3,291 kes sembuh, yang menyumbang kepada sejumlah 2,692,216 kes pulih daripada jangkitan COVID-19 atau 97.4 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, daripada angka kes harian setakat tengah hari tadi, KKM turut mengesan sembilan kes positif baharu dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan seramai 460 mangsa banjir dikesan dijangkiti wabak berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kes positif baharu COVID-19 serta kluster baharu dikesan di 143 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi ketika ini di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Melaka, Johor, dan Negeri Sembilan.

Pun begitu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 63 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir iaitu 42 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan masing-masing 11 dan 10 kes untuk penyakit Acute Gastroenteritis (AGE) dan penyakit kulit. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat