KOTA KINABALU – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menggesa Barisan Nasional (BN) tidak menyertai Kabinet Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Dr Akmal menasihatkan BN Sabah menjadi blok pembangkang bersama Warisan dan Perikatan Nasional (BN).
“BN kekal saja di kerusi pembangkang di Sabah bersama parti Warisan dan PN. Jadi pembangkang yang kuat bawa isu rakyat dan sentiasa imbangi apa yang kerajaan negeri buat.
“Rakyat nak kita jadi pembangkang sebab nak lihat kita berubah dengan lebih baik.
“Kita terima kekalahan secara bermaruah dan kita perbaiki kelemahan kita, baru rakyat boleh yakin dan kita kembali di hati rakyat
dan jika itu boleh berlaku di Sabah,itu juga boleh berlaku di peringkat Pusat.
“Dengar suara rakyat,Insya-Allah rakyat kembali percaya pada kita,” ujar Dr Akmal.
Respons beliau merujuk kenyataan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (GRS) yang tegas menolak sebarang gesaan agar BN menyertai Kerajaan GRS Plus yang dipimpin oleh Ketua Menteri Hajiji.
Dalam kenyataan pada Isnin, Pemuda GRS mengingatkan, Kerajaan GRS Plus telah pun melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas 5 kerusi, UPKO 3 kerusi, Pakatan Harapan 1 kerusi, KDM 1 kerusi selain mendapat sokongan daripada STAR sebanyak 2 kerusi.
Selain itu katanya, kedudukan kerajaan akan bertambah kukuh dengan pelantikan 6 ADUN Sabah dilantik, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran negeri di Dewan Undangan (DUN) Sabah.



