KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kembali bertugas hari ini apabila menghadiri mesyuarat Kabinet.
Beliau juga berharap terus diberikan kesihatan yang baik untuk berkhidmat demi rakyat dan dipermudahkan segala urusan.
“Alhamdulillah. Dengan rahmat Allah SWT, saya kembali bertugas melaksanakan amanah yang telah ditaklifkan dengan menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Semoga terus diberikan kesihatan yang baik untuk berkhidmat demi rakyat dan dipermudahkan segala urusan.
“Terima kasih atas sokongan dan doa dari semua pihak. Semoga semangat ini dapat kita bersama menjalankan amanah untuk negara. Insya-Allah,” kata Presiden Umno itu.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan beliau sebelum ini dalam tempoh berehat di atas nasihat doktor sebelum kembali bertugas.
Sebelum ini, anak sulung Zahid, Datuk Nurulhidayah mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani satu prosedur pembedahan baru-baru ini.
Terdahulu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard dalam Facebooknya memaklumkan Zahid dipercayai melakukan pembedahan membuang ketumbuhan disyaki kanser prostat.