KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte menghormati pendirian Malaysia berhubung isu Palestin serta bersetuju perlu ada langkah segera untuk hentikan serangan ke atas Palestin, termasuk akan menghubungi pemerintah Israel dan juga melalui Qatar supaya ada rundingan bagi menghentikan serangan itu.
Perkara itu dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menerima kunjungan hormat rakan sejawat, Mark Rutte, Perdana Menteri Belanda hari ini.
“Kami sempat bertukar fikiran mengenai isu semasa termasuk serangan ke atas Palestin.
“Beliau menghormati pendirian Malaysia berhubung isu Palestin serta bersetuju perlu ada langkah segera untuk hentikan serangan ke atas Palestin, hatta akan menghubungi pemerintah Israel dan juga melalui Qatar supaya ada rundingan bagi menghentikan serangan itu.
“Saya memuji sikap Rutte yang mengambil sikap lunak untuk mendengar dan memberikan pandangan mengenai isu Palestin selain memberi jaminan supaya pandangan Malaysia dibawa untuk perhatian rakan-rakan di Eropah,” kata Anwar.
Selain itu, katanya dalam pertemuan itu juga beliau telah suarakan ketegasan Malaysia agar perlu ada usaha untuk menjamin keamanan dengan menghentikan serta merta serangan ganas dan biadab ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa seperti anak kecil, wanita, orang awam serta kawasan hospital dan sekolah.
Perkembangan lain, Malaysia akan mendapatkan kepakaran dari Belanda bagi menambah baik sistem tebatan banjir dalam usaha mengatasi masalah banjir dalam negara yang berlaku saban tahun.
Anwar berkata, bantuan kepakaran dari Belanda itu diyakini dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara yang mencecah bilion ringgit setiap tahun bagi melaksanakan pengurusan bencana banjir.
Katanya, beliau telah menerangkan kepada Rutte mengenai kepentingan menambah baik pelbagai keperluan di sungai-sungai dalam negara, terutama semasa menghadapi musim banjir dewasa ini, antaranya di Johor, Selangor dan Pahang.
“Saya juga terangkan kepada beliau mengenai belanja, umpamanya mutakhir ini keseluruhan (kos pengurusan) masalah banjir mencecah RM15 bilion. Rutte beritahu dengan kepakaran dan teknologi baru, mungkin tidak perlu kos tinggi,” katanya dan menambah Perdana Menteri Belanda itu turut memberi jaminan akan menyegerakan penghantaran pasukan kepakaran dalam bidang berkenaan.
Anwar berkata, beliau telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengambil tindakan lanjut berhubung kerjasama itu termasuk menyegerakan proses ketibaan pasukan pakar berkenaan ke Malaysia.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia dan Belanda bersetuju memperkasakan industri semikonduktur serta bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) membabitkan kedua-dua negara.
“Beliau (Rutte) setuju, Belanda adalah antara negara mempunyai dasar khusus semikonduktur. Kita (Malaysia) ada dasar menggalakkan penyertaan swasta,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata Malaysia bersetuju melaksanakan usaha penggalian dan pemulihan kapal karam lama di perairan negara termasuk kapal-kapal milik Belanda mengikut syarat ditetapkan.
Pada 2022, Belanda adalah rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia dan kedua terbesar di Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan RM48.04 bilion (AS$10.93 bilion), meningkat 33.4 peratus berbanding RM36.01 bilion (AS$8.68 bilion) pada 2021.
Belanda juga adalah pengimport terbesar minyak sawit Malaysia dalam kalangan negara EU dengan jumlah 732,324.54 tan.