Dakwaan Lokman Tidak Berasas, Berniat Jahat – Kamarul Zaman

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Tindakan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa terdapat perjanjian di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung beberapa perkara dilihat sebagai tidak berasas.

Pegawai Khas di Pejabat Perdana Menteri, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, Lokman membuat fitnah bahawa terdapat perjanjian pembentukan kerajaan di antara Perdana Menteri dan Muhyiddin dan ia mengandungi beberapa butiran tidak benar.

“Dia (Lokman) kata pada butiran kesembilan terdapat perjanjian agar kes mahkamah Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak disegerakan, manakala pada butiran ketujuh pula didakwa ada perjanjian untuk tidak menukar peguam negara. Itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya selepas membuat laporan polis terhadap Lokman di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, beliau diarahkan Perdana Menteri sendiri untuk membuat satu laporan polis berhubung dakwaan tersebut yang disifatkan sebagai berniat jahat.

Jelas Kamarul Zaman, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana pada butiran ketujuh di dalam perjanjian tersebut hanya ada menyebut mengenai aku janji untuk mengekalkan pelantikan ahli-ahli parti Perikatan Nasional (PN) dalam badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan sahaja.

“Pada butiran kesembilan di dalam perjanjian kesefahaman yang sebenar pula hanyalah aku janji untuk mengagihkan peruntukan khas Perdana Menteri mengikut peruntukan tertentu yang telah dipersetujui.

“Jadi memang tidak ada di mana-mana butiran dalam perjanjian tersebut kedua-dua dakwaan jahat yang liar dibuat oleh Lokman,” tegasnya.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya berpendapat bahawa saranan Lokman agar UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap Ismail Sabri kerana terdapat campur tangan dalam sistem perundangan dan Jabatan Peguam Negara adalah sangat tidak berasas.

Malah, beliau berpendapat bahawa Lokman yang sepatutnya dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana membuat satu tuduhan yang amat liar dan tidak berasas terhadap Perdana Menteri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO.

“Satu laporan polis berhubung perkara ini dibuat jadi kita tunggu tindakan seterusnya. Diharapkan rakyat mendapatkan berita daripada sumber yang sahih dan jika ada perjanjian sedemikian, tunjukkanlah bukti, jangan cakap kosong,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat