KUCHING – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS tidak seharusnya bertanding menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana ia akan menjejaskan kerjasama di peringkat persekutuan.
Memetik laporan Utusan Borneo, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jika Bersatu dan PAS tetap bertanding juga natijahnya akan menyaksikan kerjasama di peringkat pusat tidak dapat direalisasikan.
“PAS berada di sini (Sarawak) sudah lama dan tidak diterima oleh rakyat Sarawak. Maknanya kalau mereka hendak bertanding, kita tidak boleh halang, begitu juga Bersatu.
“Tetapi kalau mereka mahu teruskan kerjasama ini, saya cadangkan mereka tidak menentang kita. Jika mereka memilih berbuat demikian, bermakna kerjasama dengan mereka di peringkat persekutuan sudah tentu berjejas,” katanya.
Mengenai Bersatu, Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata parti itu tidak seharusnya menamakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian kerana tindakan itu akan memberi kesan kepada hubungan antara GPS dan Bersatu yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini hanyalah pandangan peribadi saya, apapun keputusan biarkan pucuk kepimpinan GPS dan perdana menteri yang menentukannya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi menjelaskan UMNO sehingga hari ini tidak membuka sebarang cawangannya di Sarawak kerana mahu membuktikan keikhlasan mereka bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan disamping mengekalkan hubungan baik yang terjalin sekian lama.
Terdahulu, Ahli Parlimen PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz baru-baru ini berkata parti itu bercadang untuk bertanding di lebih 10 kerusi DUN pada PRN Sarawak yang dijangka berlangsung tahun depan.
Menurutnya antara kerusi tersebut ialah Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro dan Kuala Rajang manakala kerusi lain akan dibincangkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak.
Katanya lagi PAS akan bertanding di lebih banyak kerusi pada PRN akan datang berbanding pilihan raya sebelumnya kerana yakin mendapat sokongan rakyat Sarawak.
Sementara itu, Wan Junaidi menyangkal dakwaan GPS menyokong PAS kerana kedua-dua parti itu kini dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“GPS tidak dalam PN, tetapi entiti berasingan yang menyokong pentadbiran PN menerusi ‘PN Plus GPS’.
“Walaupun PAS, Bersatu dan UMNO di dalam PN, GPS masih entiti bebas dan kekal dengan ideologi serta pendiriannya sebelum ini khasnya dalam agama,” ujarnya.