Malaysia cadang Pasukan Pemantau Tetap ditubuh kalangan negara ASEAN, jaga sempadan Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR – Malaysia sudah mencadangkan penubuhan Tim Pemantau Tetap (AMT) membabitkan kekuatan sekurang-kurangnya 33 anggota tentera dalam kalangan negara ASEAN dengan pergerakan pasukan pemantau itu tertakluk kepada persetujuan bersama Thailand dan Kemboja.

Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, penubuhan AMT ini dicadangkan ditempatkan masing-masing dua lokasi di Thailand dan Kemboja membabitkan penugasan tujuh anggota di setiap empat lokasi terpilih dan lima anggota di lokasi Markas Tim Pemantau.

Beliau berkata, penubuhan AMT itu antara cadangan yang dibincangkan delegasi rasmi Malaysia ke Thailand dan Kemboja yang diketuainya bagi meneruskan pemantauan dan memastikan gencatan senjata antara kedua-dua negara itu dilaksanakan sebaik-baiknya.

Katanya, pada rundingan itu juga, Malaysia turut mencadangkan penubuhan Pasukan Pemantau Sementara/Interim diketuai Penasihat Pertahanan Malaysia di Bangkok dan Phnom Penh yang membabitkan penyertaan dari penasihat pertahanan dari negara ASEAN.

“Cadangan penubuhan pasukan AMT ini sudah diserahkan kepada kedua-dua pihak dan kita menunggu maklum balas mereka.

“Dalam hal ini, negara ASEAN lain juga akan berperanan aktif dan perkara ini akan diatur Wisma Putra, ” memetik laporan BH.

Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja tercetus dengan insiden tembak-menembak pada 28 Mei lalu sebelum memuncak kepada konflik bersenjata.

Susulan itu, Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja apabila Perdana Menteri Malaysia mengambil inisiatif dan menjadi tuan rumah kepada satu pertemuan diplomatik dengan pemimpin kedua-dua negara itu.

Media sebelum ini melaporkan, Kemboja dan Thailand menyatakan penghargaan mendalam kepada Malaysia atas ketegasan memainkan peranannya bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata serta-merta antara kedua-dua negara berkonflik.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, menyifatkan mesyuarat khas dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi ASEAN, sebagai ‘amat penting dan tepat pada masanya’ serta memuji inisiatif beliau dalam mengantara pelaksanaan gencatan senjata serta-merta antara Kemboja dan Thailand.

Mohd Nizam berkata, mesyuarat pra-Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) membabitkan kedua-dua negara akan diadakan di sini, pada Isnin ini, diikuti GBC pada keesokannya dengan penyertaan Penasihat Pertahanan ASEAN di Kuala Lumpur sebagai pemerhati.

“Sebenarnya, pada pertemuan yang diadakan itu, tiga perkara utama yang saya tekankan iaitu gencatan senjata perlu serta-merta, tiada penambahan kekuatan tentera dan tumpuan kepada bantuan perubatan sebagai sebahagian daripada persiapan misi pemantauan.

“Malaysia akan terus komited memainkan peranan sebagai pengantara berkecuali dalam menyokong pelaksanaan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja ini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat