Isu Tulisan Jawi: DAP Cabar Titah YDP Agong?

- Advertisement -

 

Oleh: Dr Ahmad Sanusi Azmi

1. Kelmarin, Adun DAP Chow Yu Hui memfailkan permohonan untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang yang mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

2. Menurut beliau, ketetapan meletakkan tulisan Jawi pada papan tanda dilihat sebagai “menafikan kebebasan mereka untuk membuat pilihan (kerana) setiap pihak ada khalayak sasaran sendiri.” (Malaysiakini)

3. Pada hakikatnya, penguatkuasaan tulisan jawi ini dilakukan susulan dari titah Yang Dipertuan Agong, al-Sultan Abdullah pada 13 November tahun lepas bagi memartabatkan semula tulisan yang semakin terpinggir itu. (Sinar Harian)

4. YDP Agong yang juga Sultan Pahang sendiri bertitah agar tulisan Jawi dimartabatkan. Anehnya DAP tetap konsisten membantah perkara ini sekalipun saranan tersebut diluahkan sendiri oleh Baginda Sultan. Apakah yang menyebabkan DAP begitu konsisten mencabar isu Jawi ini? Apakah mereka benar-benar membenci tulisan yang menajdi lambang jati diri Tanah Melayu ini?

5. Perhatikan betapa hipokritnya golongan ini. Apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan agar logo halal diberikan klasifikasi berlainan bagi membezakan di antara pengeluar Muslim dan pengeluar non-Muslim, mereka (Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong)) bersungguh membantah penghasilan logo berbeza.

Bersungguh pula mereka ingin menggunakan logo halal yang bertulisan Jawi. Namun apabila Kerajaan Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda negeri itu, pihak DAP segera membantah!

6. Inilah bahananya perjuangan DAP yang cuba menafikan jati diri warisan Tanah Melayu ini. Cetusan idea serta pengaruh melawan ini berupaya menjadi agen pemecah belah masyarakat Muslim. Andai perintah Sultan (yang tidak memerintahkan kepada kemungkaran) pun berani dicabarnya, maka apalah lagi yang boleh diharap dari parti ini?

7. Pemerintah Muslim seharusnya berpendirian tegas seperti yang dilakukan oleh Khalifah Muslim terdahulu. Dalam perkara yang memelihara dan memartabatkan Islam, pemimpin seharusnya tegas mempertahankannya.

8. Perhatikan bagaimana Saidina Umar dahulu pernah melarang non Muslim dari memakai kopiah dan serban hanya kerana ingin memuliakan Rasulullah, memartabatkan syiar Islam. Kata Ibn al-Qayyim:

فإنما نهى عمر رضي اللّه عنه أهل الذمة عن لبسها لأنها زي رسول الله

“Sesungguhnya Umar RA melarang non Muslim (ahli Zimmah) memakai (kopiah/serban) kerana ia adalah pakaian Rasulullah.” Lihat bagaimana Saidina Umar berupaya mengawal perundangan negeri yang turut ditaati oleh non Muslim sehingga dalam perkara berpakaian.

9. Hari ini kita bukanlah ingin mengawal seluruh perkara. Kita hanya berharap mereka turut bersama memartabatkan tulisan Jawi, warisan Tanah Air ini. Atau paling tidak pun, menjunjung hasrat YDP Agong. Namun, itulah yang sukar difahami bahkan mereka membantah dan melawan di mahkamah.

Semoga Allah membimbing kita.

 

Nota: Penulis adalah merupakan Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pandangan beliau tidak semestinya mewakili pendirian rasmi SuaraTV.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat