Najib Tak Pernah Minta Anwar Gugurkan Kes Mahkamahnya

Sumber Foto: INTERNET

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyangkal dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau meletakkan syarat untuk tidak teruskan mahkamahnya sekiranya memberi surat akuan bersumpah (SD).

Tegas Najib, beliau tidak pernah meminta sesiapa menggugurkan kes mahkamahnya menggunakan pengaruh politik.

“Langsung tak benar apa Nuar (Anwar) kata.

“Saya tak pernah minta sesiapa untuk gugurkan kes saya melalui pengaruh politik,” jelas Najib dalam catatan di Facebooknya pada Jumaat.

Semalam, Anwar mendedahkan, Najib ada memberi SD untuk menyokong beliau menjadi Perdana Menteri namun dengan syarat kes mahkamah mensabitkan bekas perdana menteri itu “tidak diteruskan”.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau bagaimanapun enggan menuruti kehendak Najib itu dan membayangkan ia sebagai punca beliau gagal mendapat sokongan mencukupi untuk diperkenan menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susulan itu, Najib menyatakan beliau adalah orang UMNO yang sentiasa taat kepada keputusan parti.

“Saya adalah orang parti dan saya akan sentiasa taat kepada keputusan parti.

“Tapi saya pelik. Sekiranya apa yang Anwar kata adalah benar bahawa dia ada sokongan 120 ahli Parlimen, kenapa pula Istana Negara tidak lantik dia jadi Perdana Menteri?

“Dan kenapa dia buktikan sokongan ini melalui undian dalam parlimen – termasuk dengan cara menggagalkan undian bajet 2021 ketika itu? Soal Najib mempertikai kenyataan Anwar.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa beliau adalah saksi bahawa UMNO menghantar SD menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Beliau membuat pendedahan itu selepas digugurkan daripada MKT baru-baru ini.

Tajuddin memberitahu , SD yang diuar-uarkan itu memang wujud meskipun pemimpin UMNO melaungkan slogan “No DAP, No Anwar”.