AKSEM Dibubar, PDRM Ambil Alih Tugas Kawal Sempadan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dibubarkan manakala skop tugas kawalan sempadan diambil sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) akan meneruskan semua fungsi AKSEM di sempadan negara menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac lalu bersetuju dengan cadangan Pelan Rasionalisasi AKSEM menerusi penstrukturan semula serta diletakkan di bawah PDRM manakala Akta AKSEM 2017 (Akta 799) akan dimansuhkan.

“Pelaksanaan penstrukturan semula AKSEM ke dalam PDRM akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini hingga 30 September depan.

“Ia merangkumi aspek peranan, penyerahan aset, penjajaran semula perjawatan dan sumber manusia, pengurusan kewangan serta perolehan.

“Ia perlu dilakukan dengan teratur,” katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Tugas AKSEM kepada PDRM di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

AKSEM ditubuhkan pada 29 Disember 2017 dengan pewartaan Akta 799 melalui gabungan keanggotaan tiga agensi induk iaitu PDRM, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Bermula 1 Januari 2018, AKSEM berfungsi sebagai agensi kerajaan Persekutuan dengan kekuatan 900 perjawatan dan beroperasi di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Menerusi penstrukturan semula itu, Hamzah berkata, anggota Jabatan Imigresen dan JKDM dalam AKSEM akan diserapkan kembali ke jabatan masing-masing.

Susulan keputusan penstrukturan semula itu, katanya, empat jawatan kuasa kecil ditubuhkan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Jawatan Kuasa Fungsi dan Perundangan, Jawatan Kuasa Sumber Manusia, Jawatan Kuasa Aset dan Fasiliti dan Jawatan Kuasa Kewangan.

“Tempoh peralihan fungsi AKSEM kepada PDRM dan pergerakan keluar anggota agensi itu daripada Jabatan Imigresen dan JKDM dilaksanakan secara berperingkat.

“Ini bagi memastikan tidak berlaku kelompongan yang memberi kesan negatif kepada keselamatan sempadan negara.

“PDRM sudah merangka pelan strategi secara penstrukturan semula Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui kaedah penugasan semula perjawatan sedia ada,” katanya memetik Berita Harian.

Hamzah berkata, antara perancangan PDRM ialah menubuhkan briged baharu di pantai timur Sabah bagi mengukuhkan peranan pengawalan keselamatan di sempadan negara, selain beberapa kawasan di Sarawak dan utara Semenanjung.

“Kita yakin fungsi dan peranan agensi penguatkuasaan keselamatan di sempadan darat negara dapat diperkukuhkan dengan penyerapan isu berkaitan ‘command and control’ yang boleh ditambah baik PDRM.

“Ini bukan bermakna fungsi AKSEM sebelum ini tidak baik tetapi untuk menentukan ia berjalan lancar, penstrukturan semula dilakukan selepas mengambil kira isu berkaitan ‘command and control’,” katanya.

Menurut beliau, KDN turut berterima kasih kepada Jabatan Imigresen dan JKDM atas kerjasama menjayakan AKSEM bersama PDRM selama ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat