Dunia pendidikan Malaysia terus mencatat sejarah apabila Pusat Tuisyen Pintar Terbilang Intelek (PTTI) meraih dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) hasil pencapaian luar biasa para pelajarnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Kejayaan ini menyaksikan PTTI dianugerahkan dua rekod baharu iaitu ‘Most Straight A’s SPM Students in a Tuition’ dan ‘Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition’, selepas mencatatkan pencapaian 401 pelajar yang memperoleh keputusan ‘Straight A’s’ dan lebih 18,432 Gred A keseluruhan.
Pengiktirafan bersejarah ini diraikan dalam suasana penuh meriah menerusi Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dihadiri lebih 2,000 tetamu termasuk pelajar, ibu bapa, selebriti tempatan, tokoh pendidikan dan rakan strategik.
Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Puan Siti Farhana Abu Osman, menyatakan bahawa kejayaan ini bukanlah milik PTTI semata-mata, tetapi adalah hasil kerjasama menyeluruh antara pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar dan semua yang mendukung misi pendidikan negara.
“Majlis ini bukan hanya sebuah acara tahunan untuk menghargai pencapaian cemerlang, tetapi menjadi bukti nyata kepada impian dan misi besar PTTI untuk memperkasakan pendidikan anak bangsa,” ujar beliau dalam nada penuh semangat.
Menurut beliau, PTTI bermula pada tahun 2014 di Bandar Baru Bangi sebagai pusat akademik fizikal, dan kemudian beralih ke platform digital selepas mendapat inspirasi daripada mentor beliau, Datuk Wira Dr. Azizan Osman. Transformasi pendidikan digital ini bermula pada 2018 dengan hanya tiga pelajar dalam talian. Hari ini, PTTI telah memberikan impak positif kepada lebih 800,230 pelajar di seluruh Malaysia, dan mensasarkan mencecah 1 juta pelajar tidak lama lagi.
PTTI kini menjadi antara pelopor pendidikan digital tanah air yang bukan sahaja menyediakan kelas dalam talian, tetapi juga bimbingan peribadi, bimbingan berkumpulan kecil, serta penganjuran School Tour dan Road Tour secara percuma ke lebih 500 buah sekolah dan 20 lokasi di seluruh negara.
“Visi kami jelas – mewujudkan dunia pendidikan yang berkualiti, berilmu dan berkemahiran tinggi untuk semua pelajar agar mereka dapat mengubah masa depan mereka,” tambah Farhana, yang turut menekankan pentingnya pendidikan yang menyeronokkan, berorientasikan nilai, dan membina jati diri.
Kejayaan PTTI turut mendapat suntikan sokongan daripada Yayasan Nurjiwa, yang menaja insentif tunai RM500 kepada setiap pelajar yang memperoleh Straight A’s. Jumlah keseluruhan insentif tahun ini mencecah RM200,500, sebagai simbol penghargaan kepada usaha pelajar dan sokongan keluarga mereka.
Selain meraikan 401 pelajar cemerlang, majlis turut memberi pengiktirafan kepada 356 pelajar ‘Nearly All A’s’, dan 1,685 pelajar yang memperoleh 6A ke atas.
Sebagai sebahagian daripada misi berterusan untuk menyokong pelajar yang bakal menduduki SPM, PTTI turut memperkenalkan sesi konsultasi akademik percuma yang terbuka kepada semua pelajar dan ibu bapa, sebagai langkah proaktif meningkatkan prestasi akademik secara menyeluruh.
Melangkah ke hadapan, PTTI menyasarkan untuk melahirkan 1,000 pelajar Straight A’s menjelang SPM 2025 melalui pelbagai inisiatif dan pendekatan inovatif, dengan harapan untuk terus menjadi platform pendidikan digital nombor satu di Malaysia.
“Kejayaan hari ini adalah bukti bahawa usaha gigih, keyakinan diri dan sokongan berterusan mampu mengubah nasib sesiapa sahaja. Di PTTI, kami percaya kejayaan adalah milik semua yang tidak pernah putus asa,” ujar Farhana mengakhiri ucapannya yang disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif pendidikan yang ditawarkan, orang ramai boleh melayari www.ptti.my.