KUALA LUMPUR- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana telah memberikan kepercayaan kepadanya sebagai Perdana Menteri menerajui tampuk kepimpinan negara pada 21 Ogos 2021 yang lalu.
Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua parti komponen kerana menyokongnya sebagai ‘poster boy’ dan sekali gus, sebagai calon Perdana Menteri ke-10 bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sepertimana yang telah diputuskan sebulat suara oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan direstui oleh semua parti komponen BN.
“Amanah yang diberikan ini bukanlah mudah. Ia merupakan tanggungjawab yang berat. Bukan hanya untuk saya tetapi dipikul bersama anggota BN.
“Jatuh bangun dan kalah menang parti kita bergantung atas kebersamaan, bak kata pepatah; Terapung sama hanyut, terendam sama basah,” ucap Perdana Menteri di Konvensyen ke-48 BN di WTC, Kuala Lumpur pada Rabu.
Naib Presiden UMNO itu juga memaklumkan, Agenda Keluarga Malaysia yang digagaskan adalah selari dengan konsep permuafakatan dan perkongsian kuasa BN – yang dalamnya terdapat kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.
“Gandingan BN sebati dengan DNA Keluarga Malaysia. Konsep inilah yang menjamin kestabilan parti kita.
“Marilah kita terus bersama-sama memperkasakan Keluarga BN bagi menghadapi PRU-15,” seru beliau.-SUARATV