Vaksin COVID-19: Wakil Rakyat Perlu Lebih Proaktif – Syed Ali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu berperanan secara proaktif dalam menyedarkan masyarakat di kawasan yang mereka mengenai keperluan mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Dalam masa sama, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, mereka juga boleh mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan supaya menggunakan kaedah pendaftaran atau semakan pengundi bagi mengatasi kesesakan yang dilaporkan berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Soal sama ada cadangan itu relevan atau sebaliknya, mereka boleh mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit, khususnya Pusat Kesihatan Negeri (PKN) dan Daerah (PKD) termasuk menyediakan lokaliti sejajar kapasiti mereka sebagai wakil rakyat.

“Pada hemat saya, wakil-wakil rakyat di peringkat Parlimen dan negeri adalah orang yang paling hampir dengan rakyat (pengundi) yang mereka wakili terutama di kawasan pedalaman yang sememangnya amat memerlukan pelbagai bentuk bantuan, sokongan dan penerangan yang jelas.

“Saya diifahamkan, puluhan ribu orang yang layak menerima suntikan COVID-19 di beberapa negeri dilaporkan gagal berbuat demikian atas pelbagai sebab termasuk ketiadaan kemudahan pengangkutan, capaian internet rendah dan tidak mendapat penerangan betul berhubung keperluan menerima suntikan tersebut,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Isnin.

Untuk rekod, Malaysia mempunyai sebanyak 222 kawasan Parlimen dan 577 kerusi DUN termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Sultan Muhammad V menitahkan semua wakil rakyat di Kelantan agar membantu rakyat negeri itu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Kelantan Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata ia susulan luahan dukacita baginda terhadap peratusan pendaftaran bagi suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri itu yang dilihat antara terendah di negara ini.

Dalam pada itu kata Syed Ali, ia usaha semua pihak untuk memutuskan rangkaian penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba. memaklumkan, seramai 1,052,145 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya berkata seramai 1,860,864 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 2,913,009 dos setakat semalam.

Dr Adham berkata lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 139,427 dos diikuti Sarawak (109,934), Perak (97,558), Kuala Lumpur (94,398), dan Johor (92,231).

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat