Sultan Nazrin anggap Harussani seperti ayah sendiri, zahir dukacita

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita di atas kematian Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang telah dianggap baginda seperti ayahandanya sendiri.

Sultan Nazrin bertitah, sepanjang berkhidmat sebagai Mufti Perak, Allahyarham sentiasa menyembah pandangan dan nasihat bagi memandu baginda memenuhi amanah selaku Ketua Agama Islam Negeri.

“Beta menerima berita sedih kembalinya ke rahmatullah saudara tua beta pada pukul 2.45 petang, 18 Syawal 1442 bersamaan 30 Mei 2021. Allahyarham telah memberikan khidmat bakti sebagai Mufti Kerajaan Perak selama hampir 36 tahun bermula dari 1985.

“Pengalaman peribadi yang amat beta kenangi adalah bimbingan bersifat keayahan Allahyarham semasa mengiringi beta menunaikan Rukun Haji pada 2003,” titah baginda dalam warkah takziah kepada isteri Allahyarham, Puan Seri Ainon Abdul Ghani hari ini.

Baginda bertitah, Allahyarham sentiasa memperlihatkan sifat kesetiaan yang tinggi terhadap raja pemerintah dan amat memelihara tata adab dan kesopanan bagi memulia dan mendaulatkan penggunaan Raja Berperlembagaan.

Titah baginda, Allahyarham turut mempamerkan sifat seorang ulama, ilmuan, pendidik dan pendakwah yang menjunjung amanah dan tanggungjawab dengan penuh komitmen serta dedikasi.

“Ketokohan dimiliki Allahyarham yang berusaha sedaya mungkin mengembangkan syiar Islam menjadikan beliau sebagai seorang tokoh Islam yang dihormati, disegani lagi disayangi,” titah baginda.

Sultan Nazrin juga menyifatkan pemergian ulama tersohor itu merupakan kehilangan besar kepada Dewan Negara Perak dan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Baginda bertitah, pemergian yang telah ditentukan oleh Ilahi itu juga semestinya merupakan kehilangan lebih besar kepada waris, anggota keluarga dan sahabat handai.

“Melalui warkah ini, beta dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucap takziah kepada Puan Seri Ainon dan keluarga.

“Semoga waris, anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham menghadapi saat duka dan hiba ini dengan penuh keredaan dan ketabahan di samping meningkatkan ketakwaan.

“Semoga segala khidmat murni Allahyarham diterima sebagai amal yang diberikan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzakh, begitu juga pada hari kebangkitan. Semoga roh Allahyarham juga ditempatkan dalam kalangan roh-roh para solihin,” titah baginda.

Harussani, 82, meninggal dunia pada pukul 2.45 petang Ahad lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) setelah dirawat kerana positif Covid-19.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat