KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) memaklumkan, buat masa ini rantaian bekalan di stesen PETRONAS dijangka mencukupi sehingga hujung Mei 2026.
Susulan itu, harga bahan api kekal di bawah kawal selia kerajaan manakala, subsidi RON95 dan diesel masih berkuat kuasa.
“Ramai yang tertanya – Malaysia kan ada minyak sendiri? Kenapa kita masih terjejas?
“Walaupun Malaysia sebuah negara pengeluar minyak, kita tidak terlepas sepenuhnya daripada kesan krisis ini.
“Lebih separuh daripada minyak mentah yang diproses di kilang penapisan kita perlu diimport – kerana pengeluaran domestik tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan bahan api negara.
“Hampir 40 peratus daripada import tersebut datang melalui Selat Hormuz, laluan yang kini terjejas,” jelas PETRONAS dalam kenyataan media.
Rentetan daripada krisis ini, PETRONAS telah mengambil langkah proaktif untuk menjaga bekalan bahan api negara.
“Pada masa ini, rantaian bekalan di stesen PETRONAS dijangka mencukupi sehingga hujung Mei 2026.
“Harga bahan api kekal di bawah kawal selia kerajaan.
“Subsidi RON95 dan diesel masih berkuat kuasa.
“Teruskan penuhi keperluan harian dan gunakan bekalan dengan bijak dan cermat,” saran syarikat minyak dan gas negara itu.
Menjelaskan situasi semasa PETRONAS menayatakan, konflik di Asia Barat telah mengganggu rantaian bekalan minyak global – termasuk pengangkutan dan penghantaran.
“Laluan perkapalan utama di Selat Hormuz berada di bawah sekatan.
“Akibatnya, bekalan minyak mentah dan bahan api tidak dapat dihantar ke pasaran seperti biasa.
“Sejak krisis bermula, harga minyak mentah telah meningkat hampir 40 peratus – dan kos perkapalan, insurans serta logistik penghantaran turut melonjak,” jelasnya.



