Kerajaan belanja duit kita? – A Kadir

KUALA LUMPUR – Tokoh Wartawan Negara Datuk Abdul Kadir Jasin mendakwa, kerajaan tidak ada duit untuk pembangunan.

Justeru beliau menjangkakan, kerajaan pinjam daripada rakyat jelata yang menyimpan atau melabur.

Natijahnya menurut wartawan veteran itu lagi, rakyat jelatalah yang membiayai pembangunan dengan memberi pinjaman kepada kerajaan.

“Boleh kata kerajaan semua negara meminjam wang daripada rakyat jelata melalui sistem perbankan dengan mengeluarkan surat jaminan seperti bon, sukuk dan bil perbendaharaan.

“Jadi tidak betullah diayah yang kerajaan bagi itu dan ini kepada rakyat jelata.

“Kerajaan sekadar menjadi pemudah cara dalam pungutan hasil, berhutang dan berbelanja. Duit hasil dan hutang itulah yang dibelajakan ke atas semua manusia yang tinggal di atas muka bumi Malaysia ini, termasuklah memberi Budi95 yang sangat dibangga-banggakan oleh Kerajaan Madani.

“Boleh jadi jawapan rasmi kepada kedudukan kewangan kerajaan dan kekerasan tindakannya sekarang terkandung dalam kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang dilaporkan berkata, Putrajaya kini dalam “crisis mode” (keadaan gawat),” katanya dalam hantaran di Fcaebook pada Rabu.

Dalam catatan itu, A Kadir berkata, ada tiga kemungkinan besar yang menjadi pemangkin kepada kenaikan mencanak harga bahan bakar sejak akhir Februari akibat perang Asia Barat.

“Pertama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak peduli rakyat jelata susah.

“Kedua, Kerajaan Madani kesuntukan duit. Ketiga perancang ekonomi kita ambil jalan pintas ala pasaran bebas (free market).

“Kalau kerajaan bertimbang rasa, kewangan negara kukuh dan perancang ekonomi kita peduli, ia tentu tidak menaikkan harga minyak dengan begitu banyak dan pantas,” katanya.

Ujarnya, dalam masa sebulan, daripada permulaan perang pada 28 Februari lalu, harga RON97 naik 63 peratus, RON95 tanpa subsidi 49 peratus dan diesel 81 peratus menjadikan harga di Malaysia antara yang paling mahal di rantau Asean. Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah.

“Hendak kata tidak ada hati perut rasanya tidak boleh sebab sejak dari dulu kala, Anwar memperagakan dirinya sebagai pejuang rakyat tertindas.

“Atau boleh jadi beliau masih peduli tetapi tidak tahu cara yang lebih baik tangani kejutan global ini. Subsidi Budi95 yang beliau uar-uarkan sebagai tanda peduli kepada rakyat itu pun bukan ciptaan beliau. Subsidi minyak/pengangkutan diwujudakan pada tahun 1983 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Di bawah Kerajaan Madani A Kadir menegaskan, subsidi pada amnya berkurangan dengan banyak iaitu daripada RM71 bilion pada 2023 kepada RM52.76 bilion tahun lalu.

“Tahun ini, peruntukan subsidi dikurangkan 14.1 peratus lagi kepada RM49 bilion.

“Atas inisiatifnya mengurangkan defisit belanjawan dan hutang melalui pemotongan subsidi, Kerajaan Madani telah mendapat sanjungan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) tetapi rakyat jelata semakin menderita.

“Saya tidak hairan kalau kerajaan kekurangan wang. Menurut laporan akhbar The Star, kerajaan kini menghadapi masalah pungutan hasil (revenue collection) bagi menampung perbelanjaan yang meningkat dan keperluan pembangunan jangka panjang.

“Tahun lalu kerajaan kutip hasil berjumlah RM339.7 bilion melalui cukai, yuran dan perniagaan tapi tidak cukup. Bayar gaji Perdana Menteri dan kakitangan awam, bayar pencen, bayar balik hutang kerajaan, bagi subsidi, dan selenggara harta kerajaan habis semua.

“Untuk tampung kekurangan dan laksanakan pembangunan, kerajaan berhutang dengan jual surat hutang (bon, sukuk dan bil perbendaharaan). Tahun ini, anggaran pinjaman kasar kerajaan adalah RM191.3 bilion dan pinjaman bersih RM74.58 bilion. Hutang kerajaan sejak Madani memerintah naik daripada RM1.08 trilion pada 2022 kepada RM1.3 trilion awal tahun ini.

“Sekali lagi yang tampil bantu kerajaan adalah rakyat jelata yang simpan duit. Duit mereka lah yang kerajaan akan pinjam. Duit yang mereka simpan atau labur dengan bank perdagangan dan tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan(GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad.

“Semua institusi kewangan/perbankan diwajibkan menyimpan sebahagian kecairan (liquidity) mereka dalam bentuk surat jaminan kerajaan seperti bon dan sukuk,” kata beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat