KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketat kawalan penggunaan bahan api bersubsidi RON95 dan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa hari ini sebagai langkah membanteras ketirisan serta memastikan bekalan mencukupi kepada rakyat.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, pelaksanaan itu merangkumi had pengisian diesel bersubsidi di tiga wilayah itu mengikut kategori kenderaan.
Beliau berkata, kenderaan ringan seperti kereta persendirian, teksi, van dan kenderaan pacuan empat roda dihadkan kepada 50 liter setiap transaksi.
Bagi kenderaan komersial sederhana dengan berat tanpa muatan (BTM) tidak melebihi tiga tan, had ditetapkan sebanyak 100 liter, manakala kenderaan berat melebihi tiga tan dibenarkan sehingga maksimum 150 liter.
“Stesen minyak sudah menetapkan had pengisian secara automatik tetapi sekiranya pengguna memerlukan jumlah lebih tinggi, khususnya bagi kenderaan berat, mereka perlu berurusan di kaunter untuk tetapan semula,” katanya pada sidang media selepas meninjau Stesen PETRONAS di Bau, lapor BH di Kuching pada Rabu.
Azman berkata, sebanyak 556 pengusaha stesen minyak di tiga wilayah itu terbabit dalam pelaksanaan kawalan subsidi itu.
Daripada jumlah itu sebanyak 283 stesen di Sarawak dipantau, diikuti Sabah (266 stesen) dan Labuan (tujuh stesen).
Menurutnya, dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan, seramai 2,400 pegawai bersama agensi lain akan digerakkan bagi menjalankan pemantauan berterusan di seluruh negara bermula hari ini.
Selain itu katanya, kerajaan turut melaksanakan larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 kepada kenderaan menggunakan plat asing.
“Sekatan penggunaan kad kredit dan debit asing di terminal layan diri stesen minyak juga diperkenalkan secara berperingkat bagi menutup ruang manipulasi bahan api bersubsidi.
“KPDN komited memperhebat penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan dan ketirisan barang kawalan demi memastikan bekalan sentiasa stabil, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Menurutnya lagi, langkah itu turut diselaraskan dengan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (bersepadu) bagi memperkukuh kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan.
“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), dengan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menyertai gerakan ‘Kita Gempur’ dengan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan melalui saluran rasmi seperti WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.
“Kita mahu memastikan bekalan bahan api negara sentiasa berada pada tahap baik tanpa gangguan, sekali gus memenuhi keperluan rakyat secara berterusan,” katanya.



