KUALA LUMPUR – Menerima salam yang dikirim penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman namun Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memilih untuk tidak akan mengulas berkenaan kes berkenaan dan akan serahkan kepada pihak mahkamah dan peguam.

Presiden MUDA itu menegaskan beliau tidak mahu mengganggu perjalanan kes yang sedang dihadapi Yasin.

Semalam di mahkamah Yasin menyampaikan salam kepada Syed Saddiq dan minta beliau segerakan kelulusan kanabis untuk perubatan di Parlimen.

Pun begitu, Syed Saddiq memberitahu sejak menjadi menteri pada 2018 hingga 2020, beliau konsisten dalam menggesa kerajaan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan (medical cannabis).

“Saya menerima satu laporan dan klip video tentang seorang penggiat seni yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ganja dan dadah.
Saya tidak akan mengulas berkenaan kes ini dan akan serahkan kepada pihak mahkamah dan peguam. Saya tidak mahu mengganggu perjalanan kes.

“Saya cuma nak ulang pendirian saya dalam isu penggunaan ganja dan kanabis. Sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah bekas menteri, Datuk Seei Dr Dzulkefly Ahmad pun ada keluarkan beberapa kenyataan tentang kesediaan KKM untuk membuka ruang kajian perubatan kanabis di Malaysia.

“Ia juga disambut dan diteruskan di bawah Menteri Kesihatan,Khairy Jamaluddin sekarang,” ujar Syed Saddiq dalam catatan di Facebooknya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, keputusan dan gesaan ini dibuat kerana kita ikut fakta, data dan sains.

“Bukan buat sebab “trend” atau cakap-cakap orang. Ia boleh dijadikan sumber rawatan alternatif untuk banyak pesakit.

“Saya juga pernah berbahas dalam Dewan Rakyat tentang potensi perubatan kanabis jika ia dibenarkan di Malaysia.

“Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion.
Saya sendiri ambil tanggungjawab dalam memperkenalkan industri ini di negara kita.

“Ini bukan satu tugas yang mudah tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pastikan ada perkembangan yang baik nanti,” katanya.