Selagi Gendang Pilihan Raya Belum Dipalu, Annuar Musa Akan Guna Kudrat Kembalikan UMNO Dalam PN, MN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sudah terang lagi bersuluh apabila PAS bertegas memilih untuk bersama Bersatau menhadapi PRU-15, jelas UMNO terpinggir bukan saja menjadi pilihan kedua tetapi tidak dipilih.

Hal demikian membuatkan Tan Sri Annuar Musa yang umum maklum vokal dan bersungguh mahukan Muafakat Nasional (MN) dan UMNO kekal di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) hancur lebur.

Beliau bagaimanapun tidak mudah menyerah dan berikrar akan berhempas pulas menggunakan seluruh tenaga yang ada padanya untuk menjalin kembali hubungan UMNO bersama PAS dan Bersatu untuk sama-sama berjuang menentang Pakatan Harapan (PH) pada perang pilihan raya akan datang.

“Biar apa pun reaksi yang cuba ditunjukkan, hati kecil saya tetap merasa pilu dan sedih menatapi kenyataan dua parti politik Melayu memperbaharui iltizam mengikat kerjasama ke arah PRU- 15,sementara parti saya sendiri mengisytihar perpecahan demi perpecahan.

“Mereka (PAS, Bersatu) begitu konsisten berjuang dan meletakkan agenda penyatuan di hadapan.Nada yang dulunya di garap bersama satu ketika dulu.

“Apapun saya tidak akan berputus-asa. Dengan saki baki kudrat yang masih ada, saya istiqamah berjuang atas paksi membawa UMNO dalam jajaran asal,berpaksikan penyatuan parti -parti Melayu bersama parti sahabat yang lain untuk mmenentang PH dan yang bersama mereka,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Annuar mengakui meskipun berliku,perjuangan menyatupadukan ummah dengan berpegang pada tali Allah dan jangan bercerai-berai, ia akan terus dipikul,dikelek dan di junjung.

“Hubungan baik dan gerak perjuangan akan di teruskan dengan semua 13 parti dalam gabungan PN dan tidak mungkin bergerak sendirian.

“Apa lagi bertempur sesama parti Melayu yang hanya menguntungkan parti sosialis DAP dan liberalis PKR, insyaallah, kita terus berjuang,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Ketereh berkata, ini bukan masanya UMNO bertindak menggagalkan pentadbiran yang dianggotai dan dibentuk sendiri.

“Banyak sudah masa yang kita habiskan untuk politik dalaman. Kita telah raikan perbezaan pendapat,sehingga Pasca PAU 28 Mac yang meninggalkan luka yang bukan sedikit.
Namun keputusan telah dibuat. Akurlah. Baca dan renungilah usul bertulis yang telah diluluskan.

“Usul antara lain menyebut untuk mufarakah dari kerajaan PN bila Parlimen dibubar, tidak berkerjasama dengan Bersatu pada PRU-15, bertanding atas logo BN, dasar No DAP, No PKR dan No Bersatu.

“Kita fikir, fikirlah sendiri. Di mana untung,di mana rugi. Bergerak ke hadapan, elok kita fikir soal rakyat.Saki baki masa yang ada elok kita tumpu pada agenda rakyat. Malah rakyatlah yang menjadi juri politik kita nanti,” katanya.

Tegas Annuar, ini bukan masanya menggagalkan pentadbiran yang kita sendiri bentuk dan kita sendiri anggotainya.

Malah katanya, ini bukan masa untuk keluar dan runtuhkan kerajaan Sabah, Johor, Melaka, Perak yang kita kongsi bersama PAS dan Bersatu.

Juga kata Annuar ini bukan masa untuk kita gagalkan MN.

“Bukan masa untuk kita lari meninggalkan tugas membantu kerajaan yang kita sendiri dirikan.

“Justeru kita sepakat,untuk meneruskan khidmat demi rakyat.

“Terima kasih Bung Moktar di Sabah, Saarani di Perak, Ir.Hasni di Johor, Sulaiman di Melaka yang terus berkongsi memimpin negeri dan tidak bercerai berai.

“Terima kasih Ismail Sabri dan Hishamudin yang istiqamah memimpin para menteri bersama Reezal, Halimah, Noraini, Dr Shamsul, Dr Adham, Wee Ka Siong, Saravanan,timbalan-timbalan menteri, pengerusi pengerusi GLC dan lain-lain yang bertekad sebulat suara kekal istiqamah,terus berkhidmat.

“Mari kita dahulukan kestabilan negara agar pemulihan ekonomi terus lancar.Mari kita teruskan usaha memenangi perang melawan wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan dunia. Mari kita laksanakan agenda membela rakyat yang terkesan dgn situasi semasa.

“Mari kita buktikan kita mampu berjaya membela rakyat dan memimpin negara,” katanya.

Annuar menambah, pada masa yang sama selaku pimpinan mereka wajib menjaga kerajaan yang dibina atas dasar muafakat penyatuan ummah dan yang telah menyelamat dan membebaskan kita dari belenggu 22 bulan pentadbiran penuh rasa kecewa.

“Jangan kita cuba kembalikan mereka.Sementara kita dahulukan negara dan rakyat, kita ketepikan agenda peribadi beberapa individu yang kecewa.

“Insyaallah esok masih ada buat kita yang cintakan perjuangan sejati.Yang bencikan api perkauman serta politik kepentingan diri,atau mahu kembali kepada cara yang rakyat benci.

“Bila situasi semakin tenang dan jernih, kita akan dapat membezakan antara seluang dan sembilang, antara toman dan haruan, sekilas ikan di air, kita tahu jantan betina,” jelas Annuar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,562FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat