Vaksin: Kerajaan Perlu Laksana Strategi Mobilisasi Komuniti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan strategi mobilisasi komuniti supaya seluruh rakyat, sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar, mengetahui maklumat mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan kepentingan mengambil vaksin.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata dengan penyebaran maklumat yang semakin meluas, strategi itu secara tidak langsung dapat memberi fokus kepada golongan yang masih ragu-ragu dan yang benar-benar mahukan vaksin.

“Jurang kepercayaan (mengenai vaksin) memang agak melebar terhadap kerajaan dan juga agensi kerajaan. Keyakinan itu tergugat dalam kalangan komuniti. Kita pun berbincang dengan kerajaan, mereka perlu lakukan mobilisasi komuniti.

“Kita harap kerajaan, selain menggunakan agensi kerajaan yang sedia ada, menggunakan juga badan bukan kerajaan dan entiti swasta supaya capaian maklumat itu lebih cepat kerana dengan adanya entiti swasta ini, kita dapat tingkatkan capaian sehingga dua kali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Kerajaan Prihatin Rakyat Terbela’ semalam.

Dr Zainal berkata memandangkan Malaysia telah dan sedang memperoleh vaksin, kerajaan perlu meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi memberi sedikit kelonggaran berhubung sekatan sedia ada sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, mengambil contoh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pakar geostrategi Profesor Dr Azmi Hassan berpendapat Ahli Parlimen, tidak kira daripada blok kerajaan mahupun pembangkang, perlu memberi sokongan terhadap usaha tersebut.

Beliau berkata ini bukan masanya untuk berpolitik kerana isu kesihatan rakyat dan situasi ekonomi negara harus diutamakan.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memerlukan perhatian seratus peratus. MP (Ahli Parlimen) perlu sokong (program itu) untuk memberi kebaikan kepada negara.

“Jadi, berilah sokongan kepada PM, tak kira dari parti mana… yang penting, beliau (Muhyiddin) mentadbir urus tanpa gangguan (politik),” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,594FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat