KUALA LUMPUR – Permintaan supaya Umno menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden disifatkan sebagai keterlaluan, kata Datuk Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu sebaliknya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menukar menteri PKR yang tidak ‘perform’.
“Ada juga pandangan Hassan Karim yang bagus. Tetapi bila dia minta Zahid diganti ia amat keterlaluan. Hassan patut “cermin diri sendiri”.
“Sepatutnya dia desak Anwar tukar menteri PKR yang tidak “perform”.
“Apa kejayaan Rafizi untuk ekonomi rakyat. Setakat daftar PADU? bidas Puad.
Speaker DUN Johor itu juga mengingatkan, jangan lupa Premier Sarawak juga memberi komen negatif terhadap Menteri Pendidikan dari PKR.
“Patut Hassan desak PMX buat penilaianm,” katanya.
Puad menegaskan, pemilihan Zahid sebagai Presiden Umno hak akar umbi Umno.
“Umno tidak campur urusan PKR apabila Rafizi menang jawatan Timbalan PKR yang kononnya tidak telus.
“Hassan jangan hipokrit soal terpalit, Umno turut terpalit dengan formula kosong Rafizi.
“Ringgit tetap jatuh. Harga barang tidak turun. Jangan buta sebelah,” tempelak Puad lagi.
Semalam Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyarankan Umno untuk merombak barisan kepimpinan terutama Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Tambah Hassan, Umno perlu diterajui muka baharu, tidak hanya menumpang dahan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar yang rapuh berdepan PRU-16.