Klasifikasi filem 2023 berkuat kuasa hari ini- Saifuddin Nasution

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan Klasifikasi Filem 2023, berkuat kuasa hari ini, yang ditambah baik mengikut keperluan semasa industri perfileman dan penyiaran tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata klasifikasi filem yang diperkenalkan Lembaga Penapis Filem (LPF) sejak 2012 ditambah baik berteraskan tiga prinsip utama selepas mengambil kira pandangan positif penggiat industri kreatif.

“Dalam hal ini, prinsip yang diberi keutamaan untuk penentuan klasifikasi filem adalah pertamanya, memelihara kebebasan penonton dewasa untuk memilih filem yang ingin ditonton.

“Kedua, melindungi kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun daripada terdedah dengan kandungan filem yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka serta boleh merosakkan pemikiran dan tingkah laku mereka.


“Ketiga, menggalakkan ibu bapa agar lebih bertanggungjawab dalam membimbing anak-anak memilih kandungan filem yang sesuai untuk ditonton,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

KDN melalui LPF melaksanakan fungsi penapisan dan memberi klasifikasi filem berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620).

Saifuddin Nasution berkata, Klasifikasi Filem 2023 yang diwartakan melalui Peraturan-Peraturan Penapisan Filem (Pengelasan Filem) 2023 pada 9 Januari lalu, menetapkan lima pengelasan (klasifikasi) filem baharu.

Di bawah klasifikasi filem baharu, Klasifikasi U merujuk kepada penonton semua peringkat umur.

Klasifikasi 12 adalah kategori bagi penonton semua peringkat umur dan bimbingan ibu bapa diperlukan bagi penonton yang berumur di bawah 12 tahun.

Klasifikasi 13 merujuk kepada penonton berumur 13 tahun ke atas; Klasifikasi 16 (penonton berusia 16 tahun ke atas) dan Klasifikasi 18 (penonton berumur 18 tahun ke atas).

Saifuddin Nasution berkata, Klasifikasi Filem 2023 ini diharap memberi kesan positif dalam aspek penyeragaman dan peningkatan standard klasifikasi filem di Malaysia agar setanding dengan sistem klasifikasi atau penarafan filem yang dilaksanakan di luar negara.

“Selain itu, diharapkan Klasifikasi Filem 2023 dapat dijadikan panduan dan rujukan penerbit serta pengarah filem tempatan serta menyokong peluasan kreativiti dalam kalangan industri filem dan penyiaran.

“Namun, pada masa yang sama, tidak melanggar Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat