Punca Kematian Kanak-Kanak Didera Belum Dikenal Pasti – Polis

- Advertisement -

MELAKA – Proses bedah siasat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang ditemukan lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya di sini, Jumaat lepas selesai dilaksanakan malam ini selepas hampir 11 jam dijalankan, namun punca kematian mangsa masih belum dapat dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata, pakar forensik masih memerlukan maklumat lanjut dan perlu melakukan beberapa ujian makmal, bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata beberapa spesimen dari organ badan mangsa seperti paru-paru, jantung dan hati telah diambil, bagi menjalankan ujian lanjut dan ia dijangka mengambil suatu tempoh masa tertentu, yang belum dapat dipastikan.

Katanya terdapat kecederaan di seluruh anggota badan mangsa terutama di bahagian belakang termasuk lebam baharu dan lama, selain luka kecil baharu di bahagian belakang kepala mangsa.

“Siasatan awal mendapati kecederaan itu berpunca daripada objek tumpul, namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui sama ada kecederaan itu disebabkan mangsa sendiri jatuh atau kelakuan mana-mana individu.

“Justeru terlalu awal untuk mengesahkan punca kematian mangsa akibat didera seperti yang didakwa sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Hospital Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan itu mendapati, mangsa baharu meninggal dunia kira-kira dua jam ketika ditemui pihak polis di rumahnya pada hari kejadian, sekali gus menolak tuduhan pelbagai pihak bahawa mayat mangsa ditemukan dalam keadaan kembung.

Katanya jenazah kanak-kanak malang itu dijangka akan diserahkan kepada waris sah mangsa pada esok pagi, selepas beberapa prosedur wajib dilaksanakan.

Mohd Sukri berkata pihaknya juga belum mendapat maklumat sahih, di mana kanak-kanak itu akan dikebumikan.

Jumaat lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya, dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya di sini.

Kanak-kanak itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, namun siasatan siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Mangsa sebelum ini dibesarkan keluarga angkatnya yang tinggal di Rawang, Selangor ketika masih bayi sebelum ibu kandung mangsa mengambilnya semula untuk dijaga, pada Oktober tahun lepas.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat