PRN Sarawak: Persaingan pelbagai penjuru di 24 kerusi, perpecahan undi jadi perhatian

KUCHING – Di sebalik kemenangan tanpa bertanding Gabungan Parti Sarawak (GPS) di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), perhatian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 kini turut terarah kepada 24 kawasan yang menyaksikan persaingan pelbagai penjuru, dengan faktor perpecahan undi berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya pada 12 Disember ini.

Sebanyak 45.3 peratus daripada 53 kerusi yang dipertandingkan menyaksikan persaingan tiga dan empat penjuru, sekali gus memperlihatkan bahawa meskipun jumlah calon merosot lebih separuh berbanding PRN 2021, corak persaingan di beberapa kawasan kekal sengit.

Berdasarkan analisis statistik Suara TV selepas selesai penamaan calon hari ini, sebanyak 15 kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru manakala sembilan lagi melibatkan pertandingan empat penjuru, dengan keseluruhan 81 calon bersaing di 24 kawasan berkenaan.

Sembilan kerusi yang menyaksikan pertandingan empat penjuru ialah Opar, Batu Lintang, Mambong, Tebedu, Krian, Bukit Assek, Nangka, Senadin dan Telang Usan.

Sementara itu, pertandingan tiga penjuru melibatkan Padungan, Pending, Kota Sentosa, Serembu, Kedup, Bukit Semuja, Bukit Begunan, Simanggang, Jemoreng, Pakan, Ngemah, Pelawan, Samalaju, Pujut dan Mulu.

Taburan kerusi berkenaan menunjukkan persaingan pelbagai penjuru bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar utama seperti Kuching, Sibu dan Miri, malah turut melibatkan kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dalam sistem pilihan raya yang mengiktiraf calon dengan jumlah undi terbanyak sebagai pemenang, pertandingan melibatkan lebih daripada dua calon membuka kemungkinan seseorang calon memenangi kerusi tanpa memperoleh lebih 50 peratus daripada keseluruhan undi sah.

Keadaan itu menjadikan pengagihan undi antara calon sebagai antara faktor penting yang berpotensi menentukan keputusan, terutama di kawasan yang mempunyai sejarah kemenangan dengan majoriti tipis.

Sekiranya undi pencabar GPS terpecah antara beberapa calon, keadaan itu berpotensi memberikan kelebihan kepada gabungan berkenaan, namun kemungkinan peralihan undi penyokong GPS kepada calon lain juga tidak boleh diketepikan.

Faktor ketokohan calon, pengaruh pemimpin setempat, kekuatan jentera parti serta isu pembangunan dan kepentingan masyarakat setempat turut berpotensi mempengaruhi kecenderungan pengundi.

Berbanding PRN 2021 yang menyaksikan penyertaan 349 calon, PRN kali ini melibatkan 168 calon, iaitu pengurangan sebanyak 181 calon atau 51.9 peratus.

Bagaimanapun, pengurangan jumlah calon itu tidak semestinya menggambarkan tahap persaingan yang lebih rendah di semua kawasan, khususnya apabila hampir separuh daripada kerusi yang masih dipertandingkan menyaksikan lebih daripada dua calon.

Kemenangan awal GPS di 29 kerusi turut memberikan kelebihan kepada gabungan itu yang hanya memerlukan 13 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti mudah, manakala 26 lagi kerusi diperlukan bagi mencapai majoriti dua pertiga daripada keseluruhan 82 kerusi DUN.

Dalam konteks itu, keputusan di 24 kerusi yang menyaksikan persaingan pelbagai penjuru bukan sahaja berpotensi mempengaruhi saiz majoriti GPS, malah menjadi antara petunjuk terhadap keupayaan parti lain dan calon Bebas mendapatkan sokongan pengundi.

Meskipun jumlah calon tidak boleh dijadikan ukuran mutlak tahap sengit sesuatu pertandingan, keputusan pengundian pada 12 Disember ini bakal memberikan gambaran lebih jelas mengenai kesan persaingan pelbagai penjuru terhadap landskap politik Sarawak. – Suara TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat