MELAKA – Kerajaan negeri Melaka digesa mendedahkan secara terperinci kos pelantikan timbalan exco termasuk jumlah elaun, kemudahan dan perbelanjaan sokongan bagi jawatan berkenaan.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka Eddiarman Mohd. Yunos berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan pertambahan struktur pentadbiran kerajaan negeri benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, kenyataan bahawa pelantikan berkenaan tidak melibatkan perbelanjaan besar perlu disokong dengan angka yang jelas bagi membolehkan rakyat mengetahui jumlah sebenar peruntukan terbabit.
Beliau turut meminta kerajaan negeri menjelaskan pertambahan perbelanjaan berbanding struktur pentadbiran sebelumnya.
Eddiarman berkata demikian susulan kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang meminta pihak mempertikaikan pelantikan timbalan exco supaya membuat kajian terlebih dahulu.
“Kerajaan negeri yang melantik serta memegang maklumat. Rakyat pula disuruh buat kerja rumah untuk buat kajian. Menyebut jawatan itu sudah diwujudkan sejak penggal lalu juga tidak menjawab persoalan pokok. Amalan lama tetap perlu dinilai semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Eddiarman, kewujudan jawatan berkenaan sejak penggal terdahulu tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk mempertahankan pelantikan itu tanpa penilaian semula terhadap keberkesanannya.
Sebelum ini, Ab. Rauf mempertahankan pelantikan timbalan exco dengan menjelaskan bahawa jawatan berkenaan bukan sesuatu yang baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua Menteri turut menjelaskan pelantikan itu tidak melibatkan perbelanjaan besar, sebaliknya bertujuan membantu anggota exco yang mempunyai pelbagai perancangan serta komitmen tugas.
Dalam pada itu, Eddiarman berkata, kerajaan negeri juga perlu menjelaskan hasil tambahan yang dijangka diperoleh menerusi pelantikan berkenaan, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.


